My Add

Sunday 6 January 2013

Klia2 dilancar ikut tarikh perasmian KLIA?

 NAJIB Tun Razak bersama Tony Fernandes (lima dari kiri) Aziz Bakar (lima dari kanan), Kamarudin Meranun (empat dari kiri) dan Bashir Ahmad (dua dari kiri) bersama-sama pasukan kebudayaan menunjukkan isyarat 1Malaysia berlatar belakangkan Pesawat AirAsia yang berwajah baru dengan corak lukisan pada Majlis Pelancaran Program Integrasi 1Malaysia AirAsia di Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di KLIA Sepang, semalam. - MINGGUAN/HANAFI KHAMIS

SEPANG, SABTU, 05 Januari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap terminal klia2 di sini akan dilancarkan pada 28 Jun selari dengan tarikh perasmian terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1998.

Najib berkata, walaupun pembinaan klia2 dijadual siap lebih awal iaitu pada Mei tetapi beliau mahu persiapan rapi dilakukan sebelum lapangan terbang tersebut beroperasi bagi menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

''Saya telah nyatakan bahawa klia2 tidak perlu dibuka secara terburu-buru dan boleh beroperasi apabila sudah bersiap-sedia sepenuhnya.

''Tarikh pelancaran harus padan dengan tarikh pembukaan KLIA. Saya berharap akan berpeluang untuk merasmikan klia2 pada 28 Jun dengan jawatan sedia ada (sebagai Perdana Menteri)," katanya dalam majlis pelancaran pesawat AirAsia yang dihiasi lukisan konsep 1Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi AirAsia Berhad, Datuk Aziz Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia , Tan Sri Tony Fernandes, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd., Tan Sri Bashir Ahmad dan Timbalan CEO Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

Selepas melancarkannya, Perdana Menteri bersama pemimpin korporat AirAsia menaiki pesawat 1Malaysia tersebut yang berlepas dari LCCT dan mendarat di Kuantan, Pahang.

Dalam majlis yang sama, Najib turut mengumumkan bahawa AirAsia akan memulakan Program Integrasi 1Malaysia yang menawarkan penerbangan percuma terutamanya kepada mereka yang tidak pernah menaiki pesawat bagi meningkatkan integrasi antara semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Maklumat lanjut mengenai Program Integrasi 1Malaysia dijangka diumum AirAsia pada Isnin ini.

Dalam pada itu, Najib berkata,

kehadirannya dalam majlis AirAsia hari ini adalah bagi memberikan pengiktirafan kepada syarikat penerbangan tambang murah tersebut yang merupakan jenama terkenal dunia dan contoh kejayaan konsep 1Malaysia.

''AirAsia merupakan contoh hidup 1Malaysia dan menunjukkan bahawa dengan cara bekerjasama, kita boleh mencapai apa yang sukar sebelumnya.

''1Malaysia adalah berpaksi kepada prinsip inklusif dan kita mesti sedar bahawa potensi negara boleh direalisasi jika bertindak sebagai satu komuniti," katanya.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan sentiasa menyokong syarikat negara ini untuk menjadi jaguh di peringkat serantau dan global. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment