My Add

Friday 4 January 2013

Malaysia dapat manfaat CEPA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 03 Januari, 2013: Perniagaan Malaysia dijangka mendapat manfaat dari langkah liberalisasi perkhidmatan China dan Hong Kong di bawah pakej ke-10 Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat (CEPA) antara kedua-dua kerajaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, kerajaan China dan Hong Kong akan melaksanakan langkah liberalisasi yang meliputi 22 sektor perkhidmatan yang diperuntukkan di bawah Supplement IX CEPA.

"Ini akan meningkatkan lagi bilangan sektor perkhidmatan yang diliberalisasikan kepada 48, manakala bilangan keseluruhan langkah liberalisasi perkhidmatan akan meningkat kepada 338," katanya.

Matrade berkata, langkah itu adalah petunjuk positif bagi perniagaan Malaysia untuk mendapat lebih akses untuk memasuki pasaran Tanah Besar China.

Katanya, langkah baharu itu akan memberikan syarat akses pasaran yang lebih longgar di segi perkhidmatan perundangan, perkhidmatan perakaunan, perkhidmatan pembinaan, perkhidmatan perubatan, komputer dan perkhidmatan berkaitan, ujian teknikal, analisis dan ujian produk, perkhidmatan penempatan dan bekalan personel, konvensyen dan pameran serta perkhidmatan perniagaan lain.

"Sektor perkhidmatan lain yang dimasukkan ke dalam langkah itu ialah telekomunikasi, audio-visual, pengedaran, alam sekitar, perkhidmatan perbankan, perkhidmatan keselamatan, perkhidmatan sosial, pelancongan, perkhidmatan kebudayaan, pengangkutan rel, kedai milik individu dan perkhidmatan pendidikan," katanya.

CEPA telah terbukti menjadi mekanisme yang berkesan yang membolehkan Hong Kong menjalin aktiviti perniagaan dengan pihak berkuasa China di dalam usaha meliberalisasikan perdagangan barangan dan perkhidmatan dengan tanah besar, kata Matrade.

"Oleh kerana peraturan CEPA adalah neutral pada peringkat negara, syarikat-syarikat Malaysia boleh menikmati manfaat yang sama seperti yang dinikmati oleh syarikat tempatan Hong Kong," katanya.

Matrade berkata, kesemua barangan, kecuali beberapa barangan yang diharamkan, yang dikeluarkan di Hong Kong mengikut peraturan tempasal CEPA, layak bagi menerima layanan bebas tarif semasa memasuki pasaran tanah besar China.

Para pengeksport peralatan dapur, penyambung wayar aluminium, pengeluar peralatan perubatan Malaysia, serta penyedia pelbagai perkhidmatan dijangka mendapat manfaat dari Supplement IX CEPA. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment