My Add

Friday 25 January 2013

Najib promosi Malaysia di WEF


*NAJIB Tun Razak menunjukkan artikel bertajuk Investing in Asia through Malaysia terbitan majalah The Economist yang diedarkan sempena Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, semalam. - BERNAMA

DAVOS, KHAMIS, 24 Januari, 2013: Malaysia diyakini mampu menjadi antara negara paling menarik untuk tarikan perdagangan dan pelaburan terbaik selain sebagai destinasi pelancongan utama dunia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri yang sedang menghadiri Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini berkata, Malaysia mempunyai banyak berita menarik untuk dikongsi bersama masyarakat dunia dan beliau akan menggunakan WEF sebagai medium promosi tersebut.

"Tujuan saya mengambil bahagian dalam WEF ialah untuk mempromosikan Malaysia dari segi peluang pelaburan, perdagangan dan pelancongan di forum terbesar yang dihadiri oleh pemimpin politik dan tokoh perniagaan dari seluruh dunia ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia di sini hari ini ketika baru sampai dari Zurich pada hari pertamanya menghadiri WEF di bandar peranginan musim sejuk ini.

Najib berkata, kehadiran di WEF juga akan memberi peluang kepada beliau untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin dunia dan tokoh perniagaan.

Katanya, antara pemimpin negara yang akan ditemui hari ini ialah Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte dan Menteri Kewangan Kanada, James M. Flaherty bertujuan menyampaikan penghargaan kepada negara itu kerana meluluskan pelaburan besar Petronas di Kanada.

"Perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin perniagaan pula akan memberi peluang kepada saya untuk mendengar apa-apa cadangan pelaburan mereka di Malaysia," tambahnya.

Katanya, kemuncak kehadiran Malaysia di WEF ialah penganjuran 'Malam Malaysia' esok yang akan mempunyai pelbagai acara menarik dan seterusnya mengetengahkan tarikan Malaysia dalam pelbagai sudut.

"Program Transformasi Ekonomi Negara dan Model Baharu Ekonomi serta perancangan masa depan Malaysia dijangka menarik mereka yang menghadiri malam itu, di samping dalam pelbagai pertemuan di sini," katanya.

Perdana Menteri dijadualkan mengambil bahagian dalam beberapa sesi mesyuarat WEF termasuk satu sesi interaksi membincangkan kesan-kesan kemelesetan ekonomi dan ancamannya.

Najib juga akan turut ditemu ramah oleh wartawan CNN, Fareed Zakaria yang memberi fokus bagaimana Malaysia melaksanakan transformasi ekonomi dan politik dalam situasi ekonomi dunia kini.

"Kita juga mempromosi Malaysia dalam majalah The Economist dan CNN bagi berkongsi maklumat mengenai potensi masa depan negara dalam medium akhbar, majalah dan televisyen ketika berada di sini," katanya.

Najib ditemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment