My Add

Friday 25 January 2013

Lawatan Najib kukuh peranan Malaysia - TPM

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

KUALA LUMPUR, KHSMID, 24 Januari, 2013: Lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza kelmarin, diyakini mengukuhkan lagi peranan Malaysia dalam menerajui inisiatif di peringkat antarabangsa khususnya melibatkan negara-negara Islam bagi memperjuang kebebasan serta keamanan Palestin.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, lawatan bersejarah itu juga mampu membuka mata masyarakat dunia tentang keprihatinan Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Dalam masa sama, tambah beliau, lawatan itu sekali gus membawa mesej perlunya penindasan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan segera.

"Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, Malaysia menyokong penuh kewujudan kerajaan perpaduan antara Fatah dan Hamas yang menjadi prasyarat kepada kemenangan rakyat Palestin dalam perjuangan membebaskan tanah air mereka daripada penindasan dan kezaliman rejim Zionis Israel.

"Kita berharap dengan kewujudan kerajaan perpaduan yang menggabungkan dua organisasi utama yang menerajui perjuangan rakyat Palestin selama ini, cita-cita untuk membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Israel akan dapat dicapai dengan lebih cepat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama menjejakkan kaki di bumi Palestin menerusi lawatan kemanusiaan ke Gaza.

Ketibaan Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disambut oleh Perdana Menteri Kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh di kawasan sempadan.

Muhyiddin berkata, rakyat seharusnya berbangga dengan keberanian Najib melawat Gaza untuk melihat sendiri penderitaan rakyat Palestin.

Selain itu, tambah beliau, lawatan tersebut juga mengulangi pendirian Malaysia untuk terus menyokong perjuangan Palestin dan menghulurkan apa sahaja bantuan bagi meringankan beban penderitaan mereka.

"Kita juga berbangga kerana Perdana Menteri adalah ketua kerajaan pertama dalam kalangan pemimpin bukan Arab yang mengadakan lawatan ke Gaza. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau dan isteri atas kejayaan misi lawatan kemanusiaan ke Gaza.

"Sesungguhnya lawatan bersejarah ini merupakan lambang sokongan rakyat Malaysia yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan rakyat Palestin untuk bebas daripada penindasan rejim Zionis," katanya.

Dalam masa sama, Muhyiddin turut berdoa agar Najib dan rakyat Malaysia sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Menurut beliau, keberanian dan komitmen yang ditunjukkan Najib dalam menjayakan misi lawatan kemanusiaan ke Gaza menjadi sumber inspirasi kepada rakyat untuk terus mendukung perjuangan suci rakyat Palestin membebaskan tanah air mereka daripada penindasan rejim Zionis Israel.

"Mudah-mudahan dengan sokongan masyarakat dunia yang berterusan kepada perjuangan rakyat Palestin, bumi Palestin akan kembali aman, bebas dan merdeka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment