My Add

Saturday 12 January 2013

Penjawat awam pemacu capai Wawasan 2020: Muhyiddin

KUANTAN, JUMAAT, 11 Januari, 2013: Peranan penjawat awam perlu diperkukuhkan lagi bagi memacu negara mencapai Wawasan 2020, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, penjawat awam selama ini sudah memainkan peranan besar dalam meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang diiktiraf pelbagai pihak menerusi pelbagai kejayaan dikecapi.

"Pencapaian kita (dalam pelbagai bidang) adalah sesuatu yang luar biasa sebenarnya, ini adalah hasil kerjasama seluruh penjawat awam yang berganding bahu dengan kepimpinan negara untuk mencapai kemajuan yang dapat dibanggakan.

"Kita mahu peranan penjawat awam diperkukuhkan sebagai institusi penting dalam negara," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan khas penjawat awam negeri dan persekutuan Pahang di sini, hari ini.

Turut hadir bersama lebih 6,000 penjawat awam pada majlis itu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Saffian Ismail.

Muhyiddin berkata, gandingan mantap dan kerjasama erat penjawat awam bersama pihak swasta dan awam juga perlu diperkukuhkan lagi supaya negara akan lebih berdaya saing dan berinovatif.

Beliau berkata, banyak kejayaan dikecapi negara hasil kerjasama padu antara penjawat awam, pihak swasta dan awam dan diiktiraf badan-badan dan negara luar.
Bagaimanapun Muhyiddin berkata, cabaran penjawat awam ketika ini juga jauh berbeza berbanding sejak awal mencapai kemerdekaan berikutan kehendak dan keperluan rakyat yang menagih perkhidmatan lebih efisien.

"Mereka (rakyat) tahu hak mereka bila berurusan dengan penjawat awam, dan ianya menuntut respons segera, kelewatan sesuatu perkara (dalam memberikan perkhidmatan) akan merugikan semua pihak.

"Apakah impak perkhidmatan kita, kelemahan dan kelewatan perlu ditangani, rakyat Malaysia kini lebih tahu, peka akan hak mereka, profil rakyat dan negara tidak seperti dahulu lagi," katanya.

Justeru itu, Muhyiddin berkata penjawat awam perlu memastikan khidmat mereka lebih cekap lagi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment