My Add

Wednesday 9 January 2013

Sukuk pertama untuk orang awam

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
 
 *NAJIB Tun Razak melancarkan Bon dan sukuk dagangan bursa (ETBS) terbitan DanaInfra sambil diperhatikan Mohamed Dzaiddin Abdullah (dari kiri), Ahmad Husni Hanadzlah, Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan Mat Noor Nawi di Bangunan Bursa Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR. SELASA, 08 Januari, 2013: Pasaran modal negara mencatat mercu tanda baharu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Bon dan sukuk dagangan bursa (ETBS) di Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia).

Serentak dengan itu, DanaInfa Nasional Berhad (DanaInfa) muncul sebagai penerbit sulung sukuk runcit itu, sekali gus mewujudkan kelas aset baharu di Bursa Malaysia dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju utama pasaran sukuk dunia.

Perdana Menteri berkata, dana terbitan sulung ETBS oleh DanaInfra itu adalah yang pertama dibuka kepada orang awam dan sebahagian daripada terbitan tersebut akan digunakan untuk membiayai projek Transit Aliran Massa (MRT).

Menurut beliau, sejumlah RM300 juta sukuk runcit daripada peringkat awal RM1.5 bilion bagi fasa pertama laluan MRT Kajang-Sungai Buloh yang diperuntuk DanaInfra dibuka kepada orang awam dengan pelaburan minimum RM1,000.

"Kami menawarkan kepada rakyat Malaysia menerusi pembukaan ekonomi (sukuk) kita. Peluang itu dibuka kepada lebih ramai rakyat berbanding sebelum ini dengan bon Islam akan diniagakan secara lebih meluas.

"Saya gembira menyatakan bahawa dana yang diraih akan menyokong projek MRT, satu mercu tanda yang bakal memainkan peranan utama dalam kejayaan Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran ETBS, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Pengerusi Bursa Malaysia Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Ketua Pengawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan dan Pengerusi DanaInfra, Datuk Mat Noor Nawi.

Sukuk yang ditawar DanaInfra dijamin kerajaan dan mengikut prinsip syariah dengan terbitan pertama dibuat 8 Februari nanti bagi memberi peluang kepada rakyat menyertai pelaburan infrastruktur pengangkutan utama negara.

Selain dijamin kerajaan dan mengikut prinsip syariah, para pelabur juga boleh menggunakan tabung akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan pelaburan dan diberi pembayaran kupon bebas cukai.

Dalam pada itu Najib berkata, bagi memastikan Malaysia terus menjadi peneraju dalam pasaran modal, kerajaan akan terus membangun dan mengekalkan infrastruktur pasaran menerusi sokongan kukuh dari pelabur.

Jelasnya, ketika ini Malaysia muncul sebagai penyumbang utama kepada tiga suku daripada pasaran sukuk global, selain menjadi hab bagi aktiviti terbitan; dagangan; pengawal atur; standard; pasaran dan latihan berkaitan sukuk.

"Kebanyakan pasaran bon serta sukuk kita diniaga oleh pelabur institusi mahu pun para individu kaya dan cabaran kita sekarang ialah untuk menjadikan sukuk sebahagian daripada aliran utama pelaburan global," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment