My Add

Thursday 10 January 2013

Uji Rashid mengaku kecewa 'disingkirkan' dalam AJL

Oleh TENGKU KHALIDA TENGKU BIDIN

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Januari, 2013: Penyanyi wanita popular era 70-an dan 80-an, Uji Rashid mengaku sangat kecewa dengan 'penyingkirannya' dalam Anugerah Juara Lagu ke-27 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Ahad lalu.

Menurut Uji, beliau kecewa bukan kerana tidak dapat menyampaikan lagu Terukir Di Bintang sepertimana yang dikehendaki oleh komposernya,Yunalis Zarai atau Yuna.

"Sebaliknya saya kecewa dengan cara mereka 'menyingkirkan' saya tanpa adab dan sopan seperti sepatutnya. Saya hanya diberitahu tiga hari sebelum majlis anugerah berlangsung.

"Ketika itu mereka sudah memilih Aizat menggantikan tugas saya, sedangkan pelbagai persediaan sudahpun saya lakukan sebelum itu," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Terukir Di Bintang yang disampaikan oleh Aizat Amdan muncul sebagai Juara AJL ke-27 itu.

Aizat dipilih oleh penganjur pada saat-saat akhir, meskipun komposer dan penyanyi asalnya, Yuna sendiri telah memberikan mandat itu kepada penyanyi idolanya, Uji Rashid.

"Saya anggap ini penghinaan kepada artis lama seperti saya. Sepanjang 38 tahun menyanyi, detik-detik ini adalah sesuatu yang paling mengecewakan saya," katanya dalam genangan air mata.

Yuna tidak dapat menyampaikan sendiri lagu popular itu kerana berada di Amerika Syarikat bagi sesi rakaman album barunya bersama komposer popular antarabangsa, David Foster.

Kenyataan penuh Uji Rashid boleh dibaca dalam ruangan Hits Mega, Utusan Malaysia keluaran esok. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment