My Add

Thursday 29 August 2013

TERAJU berjaya wujudkan peluang dan program ekonomi RM18.2 bilion: PM

PUTRAJAYA, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) berjaya wujudkan peluang dan program pembangunan ekonomi Bumiputera bernilai RM18.2 bilion sejak penubuhannya dua setengah tahun lalu sehingga Ogos tahun ini.

Datuk Seri Najib Razak berkata, sehingga Ogos tahun ini, TERAJU sudah meluluskan geran mudahcara sebanyak RM412.4 juta kepada 87 projek yang dilaksanakan syarikat Bumiputera dari pelbagai sektor dengan nilai pelaburan swasta berjumlah RM3.7 bilion.

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu turut membantu TERAJU mewujudkanlebih kurang 13,000 peluang pekerjaan dan pada masa sama, penyertaan syarikat Bumiputera dalam program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi atau (TeraS) meningkat kepada 450 syarikat.

"Di bawah program TeraS, TERAJU menyediakan Dana Teras di beberapa institusi kewangan untuk pembiayaan modal kerja dan aset berjumlah RM1.62 bilion. Sehingga kini, RM387 juta sudah diluluskan kepada 91 syarikat Bumiputera.

"Sebelum ini, TERAJU sudah menyediakan peluang kontrak bernilai RM9.1 bilion dalam projek Aliran Transit Massa (MRT) kepada syarikat Bumiputera yang bersaing dan diagihkan berdasarkan kepada merit," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB), di sini hari ini.

Kata Najib, mesyuarat kira-kira tiga jam itu membincangkan beberapa perkara dengan tujuan mengukuhkan lagi ekonomi Bumiputera dan MTAB ambil maklum TERAJU wujudkan peluang perniagaan, pembiayaan dan pembangunan modal insan kepada sykt Bumiputera melalui kerjasama strategik pelbagai agensi kerajaan serta syarikat swasta.

Tambah Perdana Menteri, dasar peruntukan khas Bumiputera yang didapati berjaya dalam konteks projek MRT itu akan diperluaskan meliputi empat lagi projek besar iaitu projek Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, pembangunan tanah Institut Penyelidikan Getah (RRI) di Sungai Buloh dan Matrade Exhibition Centre (MEC).

Katanya, sesetengah projek seperti MEC sedang berjalan, Menara Warisan Merdeka masih pada peringkat awal, Bukit Bintang City Centre sedang dalam peringkat penentuan dari segi cadangan manakala pembangunan tanah RRI dijangka dapat dimulakan tak lama lagi.

Jelas beliau, walaupun masa pelaksanaan setiap projek berbeza, semua pembangunan berkenaan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun.

"Sebanyak 40 peratus daripada nilai projek ini dijangka dapat diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera dengan nilai peluang kontrak lebih kurang RM4.2 bilion. MTAB juga membincangkan kedudukan keseluruhan termasuk dari segi ekuiti korporat Bumiputera.

"Mengikut perangkaan yang disediakan Unit Perancang Ekonomi (EPU), ekuiti korporat Bumiputera sudah meningkat daripada 23.09 peratus pada 2010 kepada 23.45 peratus pada 2011.

"MTAB juga berpendapat langkah lebih berkesan perlu dilakukan untuk memantapkan lagi penyertaan Bumiputera terutama berdasarkan kepada pemilikan ekuiti, peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan juga bidang pendidikan," katanya.

Kata Najib, untuk mengutarakan dasar dan pendekatan bagi menambah baik ke arah langkah yang lebih berkesan, maka satu perjumpaan dijangka didakan pada 14 September ini di mana dasar dan strategi serta program intervensi berdasarkan pendekatan baru bertujuan memantap selain memperkasakan agenda ekonomi Bumiputera akan diumumkan. - BH

No comments:

Post a Comment