My Add

Saturday, 23 November 2013

Ekonomi Johor kembang kukuh tahun depan

MUAR, SABTU, 23 November, 2013: Ekonomi negeri Johor dijangka terus mencatatkan pertumbuhan kukuh pada kadar 6.1 peratus pada tahun ini dan mampu mencapai pertumbuhan antara 5.5 peratus sehingga 6.1 peratus pada tahun depan berdasarkan senario pelaburan pada tahun ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemampanan pertumbuhan ekonomi negeri ini banyak didorong oleh kerancakan pelaburan di Wilayah Iskandar Malaysia yang kini mencatat pelaburan sebanyak RM129.4 billion.

"Berkat pemerintahan Tuanku (Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar), Johor juga berjaya melakar sejarah kerana buat pertama kalinya nilai pelaburan negeri sehingga Ogos lepas mencatatkan penerimaan pelaburan industri tertinggi negara iaitu RM8.8 billion.

"Berdasarkan penunjuk ekonomi yang telah dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), ini jauh meninggalkan negeri-negeri besar yang lain seperti Sabah, Sarawak dan Selangor," kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa mempersembahkan ucapan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Turut berangkat pada majlis tersebut, isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofiah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; dan anakanda-anakanda Sultan Johor.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Mohamed Khaled berkata, dengan pengukuhan ekonomi negeri itu, ia akan membawa limpahan kepada seluruh rakyat Johor termasuk dalam menyediakan peluang pekerjaan.

"Misalnya, di Wilayah Iskandar sahaja sebanyak 554,796 peluang pekerjaan telah diwujudkan di mana 15 peratus daripada jenis pekerjaan itu melibatkan tenaga kerja mahir dan profesional, manakala 16 peratus pula tenaga kerja separa mahir.

"Mengikut pengumpulan maklum balas daripada pelabur sedia ada di wilayah berkenaan, mereka mengunjurkan 56,000 lagi peluang pekerjaan akan diwujudkan sehingga tahun 2015," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ekonomi Johor kini dilebar dan diperkukuhkan lagi dengan penumpuan pelaburan industri minyak, gas dan petrokimia di Tenggara Johor iaitu di Pengerang, dan di Barat Daya Johor iaitu di Tanjung Bin yang bakal mewujudkan 120,000 peluang pekerjaan melibatkan sektor profesional, separa mahir, mahupun teknikal. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment