Ibu, bayi mungkin dipindahkan ke Kota Bharu
KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 07 November, 2013: Ibu serta bayi berusia sembilan bulan yang koma selepas tercampak dalam kemalangan berpunca daripada tindakan seorang remaja berusia 17 tahun melarikan kenderaan di Dungun, Isnin lalu, mungkin akan dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan untuk rawatan susulan.
Menurut bapa bayi itu, Abdul Pirhat Karim, 34, keputusan itu dibuat bagi memudahkan beliau bersama ahli keluarganya menguruskan isteri dan anaknya yang memerlukan perhatian secukupnya.
Abdul Pirhat berkata, pergerakannya juga masih terbatas disebabkan kecederaan yang dialaminya di bahagian tangan dan bahu akibat kejadian berkenaan.
"Sebab itulah saya cadangkan supaya mereka (anak dan isteri) dipindahkan ke sana (Kota Bharu) supaya lebih dekat dengan ahli keluarga kami yang lain. Lagipun, isteri saya berasal dari Tumpat (Kelantan)," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, kenderaan dinaiki Abdul Pirhat dan isteri, Che Mastura Che Awang, 31, serta bayi mereka, Mohd. Ashraf Ikhwan dilarikan seorang remaja dipercayai menghidap sakit mental ketika berhenti di Hentian Rehat dan Rawat Ajil, Lebuh Raya Pantai Timur, Hulu Terengganu.
Kenderaan Nissan Grand Livina milik adik ipar Abdul Pirhat itu kemudian dipandu laju remaja berkenaan sejauh 30 kilometer sebelum terlibat dalam kemalangan di Kilometer 88, Jalan Jerangau-Jabor dekat Ladang Gajah Mati dekat Dungun. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment