Perwakilan dedah Pas diresapi Mr. Arrogant
SHAH ALAM, SABTU, 23 November, 2013: Seorang perwakilan Pas, Hishamuddin Abdul Karim mendedahkan ramai kalangan pemimpin parti itu kini diserang sindrom Mr. Arrogant (angkuh)
Beliau yang bimbang dengan senario itu berkata, kewujudan Mr. Arrogant menyebabkan terdapat kelompok yang hanya merasakan pandangan serta idea mereka sahaja yang tepat.
Hisham uddin menambah, beliau lebih bimbang kewujudan Mr. Arrogant daripada mempercayai dakwaan berlaku pertembungan kem ulama dan kumpulan Erdogan dalam Pas.
"Mr. Arrogant yang telah meresapi ke dalam Pas ini merasakan hanya pandangan mereka sahaja tepat, hanya idea golongan ini hebat, manakala pandangan ahli lain terkebelakang.
"Perkembangan ini jika tidak ditangani akan menimbulkan kegelisahan," katanya semasa membahaskan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-59 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Terengganu menyelar tindakan kelompok tertentu dalam Pas yang menghina Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib.
Jelasnya, kata-kata nista seperti 'ulama kerusi roda' serta 'gila kuasa' yang dilempar terhadap Harun melalui laman sosial merupakan perbuatan biadab yang perlu disiasat dan dihentikan.
"Bukan ini budaya kita dalam Pas dan saya sungguh tidak faham mengapa dalam kalangan kita tergamak melemparkan kata-kata nista begini kepada kepimpinan ulama," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment