My Add

Friday, 28 March 2014

Cola: Kerajaan tiada kuasa

 
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Mac, 2014: Kerajaan tidak mempunyai kuasa perundangan untuk mewajibkan sektor swasta memberikan elaun sara hidup (Cola) sebanyak RM300 sebulan atau elaun seumpamanya kepada pekerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abd. Muttalib (gambar) berkata, cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berhubung pemberian Cola kepada pekerja swasta adalah tertakluk kepada budi bicara majikan masing-masing.

Sehubungan itu, katanya, kementerian berpendapat MTUC wajar mengadakan dialog secara terus dengan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengenai cadangan itu.

"Kementerian tidak ada halangan untuk menjadi perantara jika terdapat permintaan daripada pihak-pihak yang terlibat sekiranya dialog secara terus yang diadakan tidak mencapai kata sepakat," katanya dalam sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang bertanya adakah kementerian itu akan berdialog dengan MEF untuk menggalakkan mereka menerima cadangan MTUC supaya membayar Cola sebanyak RM300 sebulan kepada pekerja sektor swasta.

Menurut Ismail, kementeriannya menggalakkan pekerja dan majikan mengadakan perbincangan konstruktif bagi mendapatkan terma-terma penggajian terbaik yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak.

"Bagi pekerja sektor swasta yang mempunyai kesatuan sekerja, pemberian elaun Cola boleh dimasukkan sebagai salah satu terma dalam proses perundingan bersama antara kesatuan sekerja dengan pihak majikan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 13 Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

"Bagi pekerja yang tidak diwakili kesatuan sekerja, perkara ini boleh dibincangkan dalam Jawatankuasa Perundingan Bersama antara majikan dan pekerja," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia telah mengambil pelbagai langkah untuk membantu golongan pekerja termasuk membuat semakan semula gaji minimum dan pelaksanaan gaji yang dikait dengan produktiviti (PLWS).

"Kerajaan memperkenalkan PLWS untuk meningkatkan produktiviti dan memotivasikan pekerja untuk terus bekerja," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment