![]() |
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) menegaskan, kerajaan tidak pernah mengarahkan atau mengupah mana-mana pihak untuk menggunakan bomoh dalam usaha berkenaan.
Menurut beliau, kerajaan juga menyelar usaha pihak-pihak yang mendapatkan khidmat bomoh yang melanggar batasan syarak dalam pencarian pesawat berkenaan yang secara jelas bertentangan dengan Islam.
''MAIS telah membuka kertas siasatan. Pihak kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama pihak berkuasa agama negeri sedang dan akan sentiasa membuat pemantauan di KLIA.
''Ini supaya perkara tersebut tidak berulang dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat," katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan mengenai kenyataannya berhubung isu penggunaan bomoh seperti disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 12 Mac lalu dengan penegasan berita tersebut hendaklah dibaca sepenuhnya sebelum membuat sebarang andaian.
''Ini jelas dinyatakan pada perenggan kedua (laporan akhbar) iaitu mendoakan kebaikan kepada misi mencari dan menyelamat itu amat diperlukan, namun mestilah berlandaskan syarak yang ditetapkan oleh Islam," jelasnya.
Terdahulu, menjawab isu berkaitan pelaksanaan hukum hudud, katanya, kerajaan sentiasa bersama di dalam usaha-usaha memartabatkan perundangan Islam termasuk hudud.
Dalam konteks itu menurutnya, kerajaan sentiasa dari semasa ke semasa berusaha memartabatkan perundangan Islam di samping usaha bagi mengharmonikan undang-undang sedia ada supaya selaras dengan maqasid syariah.
''Jika kerajaan negeri Kelantan telah bersedia untuk melaksanakan hukum hudud, Kerajaan Persekutuan akan bersedia bersama-sama dan terpulang kepada ahli Yang Berhormat untuk membawa usul persendirian bagi membentang rang undang-undang daripada ahli yang bukan ahli kerajaan di Dewan ini.
''Seperti ahli Yang Berhormat sedia maklum, ahli-ahli Yang Berhormat daripada Barisan Nasional (BN) telah memberi sokongan kepada Enakmen Jenayah Syariah II di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan," - UTUSAN

No comments:
Post a Comment