My Add

Friday, 28 March 2014

BN tunai janji kepada rakyat

MUKAH, KHAMIS, 27 Mac, 2014: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat dan tidak akan lari daripadanya.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem memberikan jaminan itu sebelum menyampaikan 246 hak milik tanah di Kampung Sesok di sini hari ini.

Beliau berada di sini untuk berkempen bagi calon BN, Yussibnosh Balo yang menghadapi calon Parti Keadilan Rakyat, Abdul Jalil Bujang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Sabtu ini.

PRK Balingian diadakan selepas penyandangnya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga bekas Ketua Menteri melepaskan kerusinya untuk menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak.

"BN tidak seperti pembangkang yang membuat bermacam-macam janji kepada rakyat tetapi tidak berupaya mengotakannya. Walaupun kami belum menunaikannya 100 peratus, kami akan terus mengotakannya tidak hanya semasa musim pilihan raya," kata Adenan.

Beliau berkata, Abdul Taib telah berjanji untuk menukarkan status tanah penduduk-penduduk di sana daripada lesen menduduki sementara kepada hak milik tanah semasa beliau menjadi wakil rakyat mereka.

"Hari ini kami menunaikan sebahagian daripada janji beliau. Kami berharap akan menunaikan yang terakhir penghujung tahun ini," katanya.

Terdahulu, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setakat ini sebanyak 44,860 hak milik tanah untuk kampung tradisi di 282 kawasan di seluruh negeri telah diberikan.

Beliau berkata, ini termasuk 7,261 hak milik tanah untuk 41 kampung tradisi di Bahagian Mukah. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment