My Add

Saturday 14 July 2012

2 anggota polis bebas tuduhan rasuah

SEREMBAN, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Dua anggota polis dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati tidak bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan wang tunai RM11,450, dua tahun lalu. 

Hakim Datin Nursinah Adzmi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh, Konstabel Hardy Carlos Anak Pressie, 26, dan Lans Koperal Manan Buang, 46, yang berkhidmat di Cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia di Pejabat Peronda Lebuh Raya Zon Selatan (Seremban–Ayer Keroh) kelihatan sebak selepas keputusan itu dibacakan. 

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang betugas sebagai polis peronda ketika itu didakwa secara rasuah meminta suapan berjumlah RM6,000 daripada Azni Aziz sebagai dorongan untuk tidak merampas mercun, bunga api serta rokok yang dibawa Azni di Kilometer 259 Lebuhraya Utara Selatan, pada 12 tengah hari 22 Ogos 2010. 

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua anggota polis itu dituduh menerima rasuah sebanyak RM1,150 untuk melepaskan Azni daripada ditahan atas kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan terlarang tersebut pada jam 12.45 tengah hari di tempat dan pada tarikh yang sama. 

Pertuduhan ketiga pula Hardy dan Manan dituduh menerima rasuah RM4,300 bagi tujuan memulangkan semula mercun, bunga api serta rokok yang dirampas kepada Azni pada jam 5.05 petang di pekarangan Pejabat Peronda Lebuhraya Sektor 2, Zon Selatan 1 dekat Mambau, di sini pada tarikh yang sama. 

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Fairuz Johari manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Raftfizi Zainal Abidin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment