My Add

Saturday 14 July 2012

RELA perlu diberi peranan tambah keyakinan keselamatan: PM

KUALA TERENGGANU, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Razak berkata, pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) perlu diberi tanggungjawab baharu seperti menjaga keselamatan di kawasan yang menjadi sasaran utama berlakunya jenayah bagi menghapuskan kebimbangan rakyat terhadap tahap keselamatan mereka. 

Perdana Menteri berkata, angkatan RELA dengan tiga juta anggota perlu digemblengkan tenaga mereka dalam menjaga keselamatan rakyat termasuk di kawasan membeli belah dan pusat tumpuan orang ramai. 

"Bilangan anggota RELA jauh lebih besar berbanding keanggotaan polis seramai 200,000 dan jika mereka dikerahkan ke tempat yang berisiko tinggi berlaku jenayah, tentu dapat membantu rakyat merasakan negara kita selamat," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama RELA Negeri Terengganu di sini hari ini. 

Najib berkata, sekalipun kadar indeks jenayah dilaporkan menurun, namun rakyat atau pihak tertentu dilihat akan mempertikaikan perkara berkenaan. 

"Bila kita kata kadar jenayah mula menurun, orang mempertikaikan kenyataan itu, sebab mereka baca kejadian (jenayah) dalam internet yang disebarkan secara meluas," katanya. 

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

"Kita tidak boleh menapis internet dan terkebelakang dalam dasar kita, kita tidak ada pilihan melainkan meniti perubahan dengan ubahsuai cara menangani cabaran baru itu agar realiti dan pesepsi tidak ada jurang. 

"Kalau kita kata kadar jenayah menurun kita hendak supaya orang merasakan perkara itu memang benar dan menjadi kenyataan," katanya. 

Perdana Menteri berkata, pasukan RELA adalah "dari rakyat untuk rakyat" yang boleh menjadi benteng kepada keselamatan negara. 

Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang selamat sebenarnya, cuma laporan jenayah yang meluas disiarkan di media sosial dan internet menyebabkan rakyat merasa sangsi akan keselamatan mereka. 

"Kalau dulu kejadian jenayah yang berlaku orang tak berapa ketahui tapi hari ini kejadian itu boleh dilaporkan secara meluas seterusnya menjadi viral," katanya. 

Najib berkata, tanggungjawab polis dan kerajaan menjaga keselamatan negara adalah lebih bila dilunaskan dan didokong secara bersama dari pasukan yang dianggotai rakyat. 

"Tiga juta anggota RELA mencerminkan sumbangan rakyat terhadap keamanan dan keselamatan negara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment