My Add

Saturday 14 July 2012

Nasib malang etnik Rohingya

*DUA kanak-kanak lelaki Rohingya menangis selepas ditahan pengawal pantai Bangladesh semasa menyeberangi sungai Naf ke negara itu, di Teknaf, pada 18 Jun lalu. - Reuters

YANGON, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres menolak cadangan Presiden Myanmar, Thein Sein supaya badan dunia itu menempatkan etnik Rohingya di kem-kem pelariannya di seluruh dunia serta menjaga kebajikan mereka.

Beliau berkata, ia bukan tugas UNHCR untuk menempatkan semula etnik Rohingya beragama Islam yang kini tinggal di barat Myanmar tanpa status warganegara.

"Program penempatan semula UNHCR adalah untuk pelarian yang melarikan dari sebuah negara ke negara lain dalam situasi yang sangat spesifik,'' katanya.

Thein Sein dalam laman webnya semalam menyatakan, beliau memberitahu Guterres dalam satu pertemuan kelmarin bahawa penyelesaian kepada konflik etnik dan agama di negeri Rakhine adalah menghantar etnik Rohingya ke negara dunia ketiga atau menempatkan mereka di kem pelarian UNHCR.

Cadangan Presiden Myanmar itu tidak menjelaskan jumlah pelarian sebenar, namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangka kira-kira 800,000 etnik Rohingya berada di Myanmar.

Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang berketurunan Bengali sebagai rakyatnya kerana kumpulan itu hanya memasuki negara ini pada kurun ke-19 ketika pemerintahan Britain.

Thein Sein memberitahu Guterres, berdasarkan Perlembagaan Myanmar, hanya keturunan Bengali yang tinggal di negara ini sebelum kemerdekaan daripada Britain pada 1948 serta anak mereka, dianggap sebagai warganegara.

Bagaimanapun, mereka yang menetap di Myanmar selepas kemerdekaan secara rasminya dianggap sebagai pendatang asing dan mengancam keselamatan negara ini.

Pada asasnya, sukar untuk kebanyakan keturunan Bengali mendapatkan status warganegara dan mereka menghadapi diskriminasi selain pergerakan yang dihadkan, isu perkahwinan dan anak. - AGENSI

No comments:

Post a Comment