My Add

Monday 2 July 2012

2 warga Pakistan didakwa tipu ahli perniagaan Bangladesh

KUALA LUMPUR, ISNIN, 02 Julai, 2012: Dua ahli perniagaan warga Pakistan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan warga Bangladesh dalam urusan membekalkan ubi kentang ke Malaysia yang bernilai lebih AS$26,000 (RM82,412). 

Sheikh Aurangzeb Kapoor, 39, dan Nadeem Iqbal, 37, didakwa menipu Syed Sakhawatur Rahman, 61, dengan memperdayakannya untuk memasuki satu perjanjian bagi membekalkan 104 tan ubi kentang bernilai AS$26,520 menerusi syarikat kedua-dua tertuduh, Premium Dynasty Enterprise. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Furuma Hotel, Changkat Thambi Dollah, di sini pada 19 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya Suzanne Tiyon Bimen menawarkan jaminan RM200,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan iaitu pasport mereka diserahkan kepada mahkamah. 

Peguam V Muniandy, yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia kerana anak guamnya tidak mampu membayar jumlah jaminan tersebut selain tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran mereka ke mahkamah. 

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah. 
Mahkamah menetapkan 30 Ogos untuk pengurusan kes dan 1 dan 2 September untuk perbicaraan. - BERNAMA

1 comment:

  1. Kedua-dua mereka telah didapati tidak bersalah dan dibebaskan daripada mahkamah pada 1hb pendengaran pada 1hb Oktober, 2012
    Mereka tidak didapati bersalah, jadi sila keluarkan pos

    Best regards
    Kapoor

    ReplyDelete