My Add

Friday 13 July 2012

86.3 peratus rakyat faham, terima 1Malaysia

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Tahap penerimaan dan kefahaman rakyat Malaysia terhadap gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sangat positif iaitu sehingga 86.3 peratus untuk tempoh 2011.

Ia hasil Kajian Kesedaran dan Kefahaman Masyarakat Terhadap Gagasan 1Malaysia yang dibuat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Jabatan Penerangan serta Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) ke atas 29,832 responden.

Paling menarik, kadar tersebut mencatat peningkatan yang konsisten kerana hasil kajian sama pada 2009 mendapati kadar penerimaan dan kefahaman rakyat berjumlah 81.9 peratus dan seterusnya meningkat kepada 84.4 peratus pada 2010.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, bagi mengukur tahap penerimaan dan kefahaman untuk tahun ini pula, ia dijangka siap pada Oktober nanti dengan jumlah responden meningkat kepada 30,300 orang.

"Melihat kepada sokongan rakyat terhadap segala transformasi yang dilaksanakan Perdana Menteri, adalah dijangka kadar kefahaman dan penerima masyarakat terhadap gagasan 1Malaysia akan terus meningkat secara konsisten," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Yunus Kurus yang ingin tahu pencapaian gagasan 1Malaysia dalam menyatukan rakyat pelbagai kaum di Dewan Negara hari ini.

Mengenai usaha untuk menyedarkan pihak tertentu yang masih keliru dengan hak-hak istimewa orang Melayu walaupun dijamin Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata, penjelasan berterusan dilaksanakan agar rakyat tidak terkeliru.

Selain itu katanya, banyak program perpaduan turut dilaksanakan di institusi pengajian tinggi bagi mendidik golongan muda agar sentiasa mengekalkan perpaduan serta tidak mempersoal perkara-perkara yang sensitif. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment