My Add

Friday 13 July 2012

Graduan Cina dapat manfaat

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Seramai 12,529 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memperoleh ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama dikecualikan daripada pembayaran balik pinjaman.

Keputusan itu menyaksikan PTPTN melupuskan RM359.3 juta hutang pinjaman mereka dengan pelajar Cina mendapat manfaat paling tinggi iaitu seramai 9,293 orang dikecualikan pembayaran balik kerana mencatatkan pencapaian akademik cemerlang.

Pelajar Melayu yang dikecualikan bayaran balik adalah seramai 2,608 orang diikuti India (476 pelajar), bumiputera Sabah (51 pelajar), bumiputera Sarawak (39 pelajar) dan lain-lain (62 pelajar).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung berkata, kerajaan juga telah bersetuju pada 15 Jun lalu untuk meluluskan pengecualian sama ke atas 4,430 graduan yang tamat pengajian dari 2005 hingga 2009.

"Mereka ini peminjam kategori sama (ijazah kelas pertama) dan dengan persetujuan baru itu, PTPTN akan melupuskan pinjaman mereka berjumlah RM116 juta," katanya menjawab soalan Senator Lee Cheam Choon di Dewan Negara hari ini.

Terdahulu, beliau mengulangi pendirian kerajaan yang tidak bercadang memberi pendidikan secara percuma di peringkat universiti walaupun pembangkang menjadikan isu tersebut sebagai usaha 'populis' untuk memancing undi.

Katanya, sehingga kini komitmen PTPTN untuk membantu pelajar cukup besar iaitu berjumlah RM48 bilion dan bagi kerajaan, bantuan pinjaman melalui badan tersebut adalah sistem yang paling cekap.

Sementara itu ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Lim Nget Yoon yang ingin tahu jumlah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan kursus perubatan, Kok Chung berkata, terdapat 21 IPTS berbuat demikian di seluruh negara.

"Bagi memastikan kelayakan pensyarah-pensyarah di IPTS ini pula, hanya pensyarah yang berkelayakan dilantik dan mereka perlu memiliki permit mengajar yang disahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment