My Add

Friday 13 July 2012

Inisiatif atasi jenayah diperluas

PUTRAJAYA, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Selain pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah terutama di kawasan parkir, anggota sukarelawan seperti Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dicadangkan agar turut ditempatkan di tempat berkenaan bagi mengatasi kes jenayah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia merupakan pendekatan yang baru yang turut menjimatkan kos kerana untuk melatih pegawai polis bagi semua jenayah dan untuk meletakkan pegawai polis sedia ada di semua tempat di seluruh negara adalah mustahil.

"Ia adalah situasi menang-menang. Iaitu menempatkan orang, tidak semestinya orang yang akan menguatkuasakan undang-undang tetapi sebagai mata dan telinga kita, dan membantu pusat beli-belah, kedai-kedai dan kawasan parkir," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, untuk itu Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan mengadakan perbincangan dengan pihak swasta termasuk pemilik pusat beli-belah serta lokasi-lokasi lain yang menjadi kebimbangan orang ramai dalam masa terdekat.

Beliau berkata, rondaan bersama pihak polis dan tentera juga akan diperluaskan secara berperingkat, apabila orang ramai dapat menerima dan selesa dengan perkara itu.

Hishammuddin berkata, inisiatif yang diguna pakai bagi mengatasi kes-kes jenayah jalanan di seluruh negara yang menunjukkan kejayaan, akan disesuaikan untuk digunakan bagi mengatasi masalah jenayah lain seperti kes pecah rumah dan penculikan yang sebelum ini tidak menjadi tumpuan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Beliau berkata, 55 inisiatif tersebut termasuk mengenal pasti kawasan panas dan negeri-negeri tumpuan dapat disesuaikan bagi mengatasi kebimbangan orang ramai berhubung kes- kes jenayah tertentu bagi membolehkan tindakan segera diambil.

"Penempatan polis, serta menggunakan sukarelawan dan pihak ketiga tetap sama tetapi mungkin tumpuan dan lokasi berbeza," katanya.

Katanya, beliau sendiri akan berjumpa dengan empat Ketua Polis Negeri iaitu Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi memastikan langkah yang perlu diambil bagi melaksanakan perkara tersebut, manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Daerah seluruh negara bagi mendapatkan input mengenai kejadian jenayah di kawasan masing- masing serta membincangkan langkah-langkah mengatasinya.

"Tidak kira sama ada peningkatan kadar jenayah hanyalah satu persepsi atau tidak, ia tetap akan ditangani secara serius kerana ia akan membangkitkan perasaan takut dan bimbang dalam kalangan rakyat," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, realitinya indeks jenayah tidak menunjukkan sebarang peningkatan, dan usaha kerajaan menangani jenayah di negara ini turut mendapat pujian pihak luar seperti Panel Bebas Antarabangsa yang dianggotai pakar dari Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

"Saya tak nak kerana kes-kes tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai hari ini menjejaskan atau menidakkan apa yang telah kita lakukan sebelum ini sehingga pihak-pihak berkecuali, pihak-pihak antarabangsa telah mengiktirafnya sebagai pendekatan di luar kotak," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga diminta tampil bagi sama-sama menangani perkara tersebut, kerana ia memerlukan penglibatan pelbagai pihak. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment