My Add

Saturday 21 July 2012

9 kaunter PPZ-MAIWP beroperasi setiap hari

KUALA LUMPUR, SABTU, 21 Julai, 2012: Sembilan kaunter Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) akan beroperasi tujuh hari seminggu termasuk hari cuti umum sepanjang Ramadan ini bagi pembayaran zakat. 

Kaunter tersebut terletak di Shamelin, Masjid Negara, Wangsa Maju, Putrajaya Presint 9, Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Daruzzakah (Kuala Lumpur), Masjid Abdul Rahman bin Auf (Puchong), Masjid Imam Al-Ghazali (Kepong) dan Labuan dan dibuka dari 8.15 pagi hingga 4.30 petang.

Pembayar zakat boleh menunaikan semua jenis zakat di kaunter berkenaan iaitu zakat pendapatan, zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), zakat perniagaan, zakat saham, zakat wang simpanan, zakat emas, zakat fitrah dan pembayaran fidyah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Muhammad Yamin Ismail, berkata kadar zakat fitrah bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tahun ini kekal RM7 seorang. 

Beliau berkata, pada tahun ini pihaknya menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM8 juta. 

"Pada 2011, MAIWP berjaya memperoleh kutipan zakat fitrah berjumlah RM7.55 juta dengan lebih 1,075,000 pembayar, jumlah tersebut meningkat daripada kutipan 2010 iaitu RM7.07 juta dengan pembayar seramai 1,005,000 pembayar," katanya dalam satu kenyataan. 

Sehubungan itu, beliau berkata umat Islam di Wilayah Persekutuan boleh menunaikan kewajipan itu bermula hari ini di mana-mana kaunter yang dibuka oleh amil lantikan MAIWP. 

Beliau juga menasihatkan umat Islam supaya hanya menunaikan zakat fitrah kepada amil yang dilantik MAIWP dan memastikan kupon yang dikeluarkan daripada MAIWP sahaja, bagi mengelakkan penipuan. 

Orang ramai boleh membuat sebarang pertanyaan berkaitan zakat dengan menghubungi pusat panggilan PPZ di 1-300-88-5757 atau melayari www.zakat.com.my. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment