My Add

Saturday 21 July 2012

Sabah cadang wujudkan 'baby hatch'

KOTA KINABALU, SABTU, 21 Julai, 2012: Sabah bercadang melaksanakan perkhidmatan dikenali sebagai "baby hatch" atau pusat perlindungan bayi dalam usaha mengurangkan perbuatan membuang bayi di negeri ini. 

Ketua Jabatan Obstektrik dan Ginekologi, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Dr Soon Ruey, berkata sebagai permulaan, perkhidmatan itu akan diwujudkan di hospital berkenaan dan Hospital Queen Elizabeth 1, sebelum diperluas ke daerah lain di negeri ini.

"Walaupun kejadian pembuangan bayi di Sabah tidak tinggi, namun kami rasa perkhidmatan ini penting, sekalipun kami hanya dapat menyelamatkan satu atau dua nyawa," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen kesedaran wanita anjuran Wanita MCA Sabah di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. 

Soon Ruey berkata, perkhidmatan itu dirancang mula diwujudkan akhir tahun ini dan ibu bapa yang ingin meninggalkan bayi mereka di tempat berkenaan, boleh berbuat demikian dengan hanya meletakkannya di dalam satu bekas yang mempunyai inkubator dan menekan satu butang, yang akan segera menarik perhatian petugas hospital. 

Katanya, hospital berkenaan akan memantau kesihatan bayi terbabit dan merujuknya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk urusan pengambilan anak angkat. 

Sementara itu, Rosnah mengumumkan Kementerian Kesihatan memilih Sabah menjadi tuan rumah satu kempen kesedaran kesihatan sempena program "Janji Ditepati".

Katanya, kempen selama seminggu itu dijadual berlangsung pada September untuk memupuk kesedaran orang ramai tentang pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat. 

"Bagaimanapun, venue kempen ini belum diputuskan kerajaan negeri," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment