My Add

Friday 6 July 2012

Anwar sedar pembangkang akan kalah

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 05 Julai, 2012: Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau bersedia untuk 'bersara' daripada politik jika pembangkang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13, menunjukkan Ketua Pembangkang itu sedar pakatan tidak akan mampu mengalahkan Barisan Nasional (BN).

Justeru jelas Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip, 'tawaran' tersebut hanya bertujuan meraih simpati rakyat dan pada masa sama Ketua Pembangkang itu mahu menguji kesetiaan para pengikutnya.

Katanya, jika Anwar benar-benar ikhlas mahu bersara beliau tidak akan membuat kenyataan awal dalam akhbar Financial Times, sebaliknya bertindak seperti yang pernah dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membuat pengumuman mengejut.

"Beliau memang sedar sekarang ini sokongan padu rakyat memihak kepada BN selepas pelbagai transformasi dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Anwar gagal menyaingi kehebatan Najib maka sebab itu beliau membuat kenyataan begitu.

"Anwar mahu meraih simpati rakyat dan juga untuk menguji kesetiaan pengikutnya. Beliau sedar hanya dengan simpati rakyat akan memberi sedikit sokongan kepada pembangkang kerana dari segi idea, Najib lebih hebat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam wawancara dengan Financial Times, Selasa lalu, Anwar membayangkan beliau mungkin bersara daripada politik tanah air dan menjadi pensyarah sekiranya pembangkang tidak berjaya merampas Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Muhammad Zahid berkata, tindakan Anwar membayangkan mahu bersara juga sebenarnya bagi mengalih isu penghakiman penuh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengesahkan berlaku penetrasi ke atas Mohd. Saiful Bukhari Azlan dalam kes liwat.

Jelasnya, Ketua Pembangkang itu ketika ini berada dalam keadaan amat tertekan kerana penghakiman penuh tersebut jelas membuktikan liwat ke atas Mohd. Saiful berlaku dan beliau sekarang adalah liabiliti kepada pembangkang, bukannya aset seperti didakwa," katanya.

"Tetapi jika itulah hasrat Anwar, saya menggesa seluruh rakyat menunaikan hasratnya kerana TIBAI menganggap kehadiran beliau yang penuh dengan isu moral dalam politik seperti melukut di tepi gantang, masuk tak tambah, keluar tak kurang tetapi lebih baik tiada," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment