My Add

Friday 6 July 2012

Dakwaan pembangkang tidak benar

*HISHAMMUDDIN Tun Hussein (kanan) bersama Idris Jala (kiri) menghadiri Program Imbasan Panel Antarabangsa NKRA Pengurangan Jenayah di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Ismail Omar (dua kanan) dan Taw How Kong (dua kiri).

Oleh NORAZRIN MARZUKI 
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 05 Julai, 2012: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan kadar jenayah di seluruh negara mencatatkan peningkatan yang membimbangkan sebagaimana digembar-gemburkan pihak pembangkang baru-baru ini.

Beliau berkata, melalui inisiatif kerajaan di bawah program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), statistik khususnya jenayah jalanan telah terbukti dapat dikurangkan.

"Spekulasi peningkatan kadar jenayah ini timbul apabila rakyat mula prihatin mengenai beberapa isu sensasi yang melanda negara ditambah pula dakwaan negatif pihak tidak bertanggung jawab.

"Hakikatnya, tiada peningkatan ketara jenayah di seluruh negara direkodkan oleh polis setakat ini khususnya selepas pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang turut menekankan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Imbasan Panel Antarabangsa NKRA Pengurangan Jenayah di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Beliau turut mempertikaikan dakwaan sesetengah pihak yang tersiar di dalam portal-portal berita propembangkang memandangkan Malaysia merupakan antara negara yang mendahului senarai kecekapan pihak polis.

"Kita berada di saluran tepat di mana kerjasama yang kita perolehi antara polis dan beberapa pertubuhan berkaitan telah menjayakan mandat digariskan di bawah GTP ini.

"Bukan sahaja jenayah jalanan malah kerajaan turut serius menggerakkan usaha untuk mengurangkan statistik jenayah berprofil tinggi yang berlaku di dalam negara," katanya lagi.

Sementara itu, dalam program selama dua hari yang berlangsung sejak semalam, Malaysia turut mendapat pujian panel antarabangsa yang hadir dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan negara.

Salah seorang panel, pegawai polis Hong Kong, Senior Asisten Komisioner, Taw How Kong turut memuji inisiatif kerajaan yang dilihat berjaya menurunkan kadar jenayah di seluruh negara.

"Melalui program imbasan ini, kami melihat inisiatif yang dilakukan dalam beberapa program kerajaan amat berkesan kerana secara jelas Malaysia mendahului carta antara negara yang paling selamat untuk didiami," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment