My Add

Friday 20 July 2012

APMM mula pantau perairan Sarawak dari udara

MIRI, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mempertingkatkan aspek penguatkuasaan di perairan Sarawak dengan melakukan pemantauan dari udara mulai hari ini berikutan dua kejadian rompakan bersenjata di perairan Miri baru-baru ini. 

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Ahmad Pozi Ab Kahar, berkata sebuah pesawat jenis Bombadier CL415 diterbangkan dari Kuala Lumpur ke Sarawak hari ini khusus untuk tujuan tersebut. 

"Saya ingin memperjelaskan bahawa dua kes tersebut bukan boleh diistilahkan sebagai serangan lanun kerana lokasinya masih lagi terletak berhampiran pelabuhan manakala manakala bot yang digunakan adalah jenis bot laju bukan kapal besar," katanya di sini hari ini. 

Ahmad berkata, lanun selalunya beroperasi di tengah lautan dalam dan mempunyai pelbagai peralatan serta senjata di dalam kapal untuk tujuan merompak kapal seperti dilakukan lanun di Somalia. 

"Saya melihat kemungkinan dua kes ini dilakukan oleh orang tempatan namun siasatan masih dijalankan berdasarkan lokasi berhampiran dengan pelabuhan dan bot yang digunakan," katanya sambil memberi jaminan perairan Miri masih selamat. 

Beliau meminta orang-ramai yang tinggal di pesisiran pantai atau lokasi berhampiran untuk tampil memberi maklumat bagi membolehkan kes itu diselesaikan secepat mungkin. 

Kes pertama rompakan bersenjata berlaku pada 8 Julai lalu dengan enam perompak menyamun 13 anak kapal termasuk kapten sebuah kapal tunda yang menjalankan tugas penyelenggaraan bagi Petronas Carigali dengan melarikan barangan samun dianggarkan bernilai RM82,000. 

Kes kedua berlaku pada Selasa lalu membabitkan 12 anak kapal namun perompak-perompak berkenaan gagal untuk menyamun kerana kepantasan anak kapal untuk mematahkan cubaan menyamun tersebut. 

Semua anak-anak kapal yang menjadi mangsa dalam kedua-dua kes tersebut tidak dicederakan oleh perompak berkenaan. 

Kedua-dua kes rompakan tersebut membabitkan kaedah yang sama iaitu menggunakan bot laju manakala suspek memakai topeng dan bersenjata. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment