My Add

Monday 16 July 2012

ASEAN pantau nasib Rohingya

PHNOM PENH, AHAD, 15 Julai, 2012: ASEAN berikrar akan memantau penderitaan yang dihadapi oleh etnik Rohingya, lapor badan penyiar Radio Free Asia.

Menurut laman web ASEAN, Setiausaha Agung pertubuhan serantau itu, Surin Pitsuwan memberikan 'perhatian khas' terhadap etnik Rohingya yang beragama Islam dan dilaporkan berbincang secara langsung dengan wakil Bangladesh dan Myanmar di pertemuan Menteri-menteri Luar ASEAN di sini minggu lalu.

Radio Free Asia melaporkan Menteri Luar Bangladesh, Dipu Moni dan rakan sejawatnya dari Myanmar, Wunna Maung Lwin bersetuju untuk bekerjasama dan memaklumkan kepada ASEAN status terkini etnik tersebut ekoran keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine, barat Myanmar sejak Jun lalu.

''Kami akan memantau penderitaan mereka (etnik Rohingya),'' kata Surin pada penutup mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN dan rakan sejawat dari negara lain yang hadir.

Surin berkata, beliau menghargai kebimbangan anggota ASEAN terhadap penderitaan kira-kira 800,000 penduduk Rohingya yang kini tinggal di Myanmar dan dianggap penduduk minoriti paling ditindas.

Presiden Myanmar, Thein Sein pada minggu ini mencadangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menempatkan etnik Rohingya di khemah-khemah pelarian atau menghantar mereka ke negara dunia ketiga.

Cadangan itu ditolak oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton yang turut menghadiri pertemuan ASEAN itu, turut membangkitkan isu etnik Rohingya ketika bertemu Thein Sein di Siem Reap sebelum forum perniagaan AS-ASEAN.

Pegawai Jabatan Negara AS yang enggan dikenali berkata, Hillary menekankan kesediaan Washington untuk membantu etnik tersebut. - AGENSI

No comments:

Post a Comment