My Add

Monday 16 July 2012

Zulfadli bantu WP juara badminton

*ZULFADLI Zulkifli menjerit puas selepas menewaskan lawannya dari Johor, Tan Kian Meng 21-14, 13-21, 21-7 pada perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki di Kuantan, semalam.

KUANTAN, AHAD, 15 Julai, 2012: Juara remaja dunia, Zulfadli Zukiffli yang mewakili Wilayah Persekutuan mengharungi perlawanan penuh berliku sebelum menjinakkan lawannya, Tan Kian Meng dari Johor bagi menggondol pingat emas acara perseorangan badminton di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) semalam.

Kira-kira 5,000 penyokong yang membanjiri stadium nyata terhibur dengan aksi bertenaga kedua-dua finalis yang menyaksikan Zulfadli dipaksa bertarung selama hampir satu jam oleh lawannya itu sebelum mencatat kemenangan 21-14, 13-21, 21-7.

“Pencapaian merangkul emas Sukan Malaysia tetap penting dan membanggakan walaupun saya telah berjaya di peringkat lebih tinggi sebelum ini.

“Bukan mudah untuk menjuarai temasya ini, saya memang ada menjangkakan saingan sesengit ini dan Alhamdulillah, dapat juga dikalungkan pingat emas pertama Sukan Malaysia," ujar Zulfadli yang tampak kepenatan.

Pertembungan itu pada awalnya disangka berat sebelah apabila Zulfadli, yang juga penyandang juara remaja Asia, melengkapkan kemenangan set pembukaan dengan mudah.

Titik kebangkitan Kian Meng, pemain pelapis kebangsaan dan juara Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSM) 2011 berlaku di awal set kedua apabila dia segera menyamakan kedudukan 2-2 selepas membiarkan Zulfadli mengutip dua mata pertama.

Zulfadli, 19, kelihatan hilang tumpuan selepas berang keputusan kontroversi daripada penjaga garisan, yang mana bulu tangkis dilihat keluar tetapi diputuskan di sebaliknya untuk mata penyamaan itu diberikan kepada lawan.

Kian Meng mengeksploitasi keadaan itu untuk mengajak Zulfadli beraksi di rubber set. Begitupun, pemain Johor terbabit gagal mencari ikhtiar lanjut untuk menghalang Zulfadli yang mendominasi permainan dengan rentak agresif, memberikan lawannya hanya tujuh mata.

“Panggilan garisan kontroversi itu memang tidak adil, tetapi ia langsung tidak menjejaskan saya mahupun menjadi punca kekalahan saya pada set kedua. Sebaliknya, lawan yang dapat membaca permainan saya.

“Skil saya dan Kian Meng hampir sama, jadi saya fikir kecergasan fizikal dan daya ketahanan menjadi perbezaan antara kami berdua," jelas Zulfadli, pemain KLRC yang sebelum ini pernah mengalahkan Kian Meng pada suku akhir Grand Prix Akhir Remaja Kebangsaan tahun lalu.

Mengenai perancangan selepas ini, pemain ranking 83 dunia itu menambah: “Saya akan membuat persiapan untuk GP Emas Terbuka Vietnam, bulan depan yang kebetulan berlangsung sewaktu Aidilfitri. Saya tetap akan bertanding kerana tidak mahu kehilangan mata ranking disebabkan penyertaan tahun lalu.

“Saya perlu melonjakkan ranking setinggi mungkin untuk berpeluang ke All-England tahun depan.

Sementara itu, pasangan wanita Wilayah Persekutuan, Chow Mei Kuan-Shevon Lai Jemie menghadiahkan keceriaan berganda buat kem kontinjen ibu kota itu apabila menumpaskan S. Kisona-Ng Hui Ern (NS) 21-14, 21-18 pada final beregu wanita.

Kutipan emas itu sepatutnya menjadi tiga jika bukan kerana kekalahan Sonia Cheah 21-12, 8-21, 13-21 di tangan Yang Li Lian dari Selangor dalam di antara dua perseorangan wanita kebangsaan.

Bagaimanapun, kekurangan satu emas pada hari terakhir semalam tidak menghalang Wilayah Persekutuan daripada bergelar juara keseluruhan akhir badminton temasya kali ini, dengan membolot tiga daripada keseluruhan tujuh emas yang dipertandingkan.

Satu lagi emas datangnya menerusi acara berpasukan wanita, Rabu lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment