My Add

Wednesday 11 July 2012

Bawa jenama negara ke dunia - TPM

*MUHYIDDIN Yassin menyaksikan penyampaian replika cek RM130,000 daripada Norman Abdul Halim (dua dari kanan) kepada Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sufa'at Tumin (kiri) di Studio KRU, Cyberjaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

Oleh THOMAS CHONG
CYBERJAYA, SELASA, 10 Julai, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, industri kreatif tidak harus dilihat sebagai sumber ekonomi semata-mata tetapi merupakan perusahaan yang mampu membawa jenama negara ke dunia.

Katanya, industri kreatif boleh berperanan meningkatkan nama negara dalam sektor pelancongan dan pelaburan serta membangunkan potensi generasi muda dalam pembentukan jati diri yang lebih baik.

''Contoh terbaik ialah kejayaan Korea Selatan mengeksport produk-produk filem, rancangan televisyen serta muzik mereka ke serata dunia, sehingga mempengaruhi generasi muda mempelajari bahasa Korea bagi memahami karya-karya kreatif yang diterbitkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan syarikat KRU yang bertemakan Memperkasa Kreativiti Generasi Baru di Studio KRU, di sini hari ini.

Di bawah program tersebut, KRU menawarkan biasiswa bernilai RM1,000 kepada 28 pelajar sekolah menengah serta 10 biasiswa Akademi KRU bernilai RM10,000 setiap satu kepada lepasan sekolah seni.

KRU pada masa yang sama akan menganjurkan Anugerah Kreatif KRU untuk mencungkil bakat muda serta bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran mengadakan ceramah kerjaya mengenai industri kreatif di sekolah.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau berharap inisiatif Studio KRU dan Akademi KRU itu akan membantu meningkatkan kejayaan industri kreatif negara sekali gus menjadikan Malaysia pengeksport produk kreatif utama setanding dengan nama-nama besar lain.

Katanya, usaha bersepadu oleh agensi kerajaan dan korporat telah menyumbang kepada kejayaan dalam industri kreatif negara yang merupakan penyumbang utama di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

''Industri perfileman tempatan yang merupakan salah satu cabang dalam industri kreatif telah menunjukkan pertumbuhan membanggakan iaitu sekitar 47 peratus dari 2009 hingga 2011

''Menurut kajian Price Waterhouse Coopers, saiz pasaran global industri kreatif mencecah AS$1.4 trilion (RM4.45 trilion) bagi 2012 dan dijangka meningkat ke AS$1.9 trilion (RM6 trilion) pada 2015," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemahiran melalui pembelajaran vokasional adalah amat relevan dalam perkembangan industri kreatif di negara ini.

''Dalam konteks ini, Kementerian Pelajaran mempunyai beberapa sekolah menengah teknik dan vokasional yang melatih murid berpotensi menjadi separa profesional dalam pelbagai bidang teknikal dan kejuruteraan,'' ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment