My Add

Friday 20 July 2012

Belia perlu iltizam politik, berperibadi mulia - PM

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 19 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan golongan pemimpin belia supaya mempunyai iltizam politik yang tinggi serta keperibadian mulia dalam meneruskan legasi kepimpinan negara.

Perdana Menteri berkata, ciri-ciri itu penting dalam membantu kerajaan menjalankan pelbagai dasar serta program transformasi kerajaan, sama ada dalam sudut politik, ekonomi mahupun sosial.

Katanya, kepimpinan belia mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam usaha itu terutama mengubah landskap negara ke arah lebih baik.

"Inilah semangat kita selain daripada apa yang dilakukan hari ini. Dasar dan semangat transformasi negara menyediakan ruang untuk menentukan mobiliti sosial lebih hebat, di samping memberikan ruang pekerjaan dan peluang untuk golongan muda mencapai tahap maksimum masing-masing.

"Inilah falsafah yang tersirat di sebalik Gagasan 1Malaysia, selain memupuk perpaduan negara dan jati diri yang kental. Kita juga mahu pastikan dasar yang menjurus kepada setiap insan dapat merealisasikan tahap maksimumnya sebagai individu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Sekretariat Pemimpin Muda 1Malaysia For Youth (1M4U) sempena Konvensyen Pemimpin Muda Negara 2012 anjuran Parlimen Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment