My Add

Sunday 15 July 2012

Berteraskan maqasid al-syariah

Oleh HELMI MOHD. FOAD
KLANG, SABTU, 14 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perjuangan yang dibawa oleh kerajaan tetap berteraskan tuntutan ajaran agama seperti terkandung dalam intipati lima perkara maqasid al-syariah atau tujuan-tujuan syariah.

Perdana Menteri berkata, apa yang dilaksanakan oleh kerajaan termasuk Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) sebenarnya berpaksi pada maqasid al-syariah iaitu mempertahankan akidah Islam, menjaga nyawa, akal, kehormatan diri dan harta.

''Bukankah dasar GTP berpaksi pada maqasid al-syariah, kita tidak lari daripada perkara itu. Kita meningkatkan taraf guru agama agar sama dengan guru-guru lain. Bukankah ini perjuangan kita berdasarkan maqasid al-syariah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang, Allahyarham Nik Mohd. Mohyiddeen Wan Musa di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) di sini hari ini.

Nik Mohd. Mohyiddeen merupakan pensyarah dan pengetua Kolej Islam Malaya, Klang dari 1959 hingga 1964. Kemudian apabila kolej berkenaan diambil alih oleh kerajaan pada 1967 dan ditukar nama kepada Kolej Islam Klang (KIK), beliau telah dilantik menjadi pengetua pertama selama lapan tahun. Kini kolej tersebut dikenali KISAS.

Pada 1975, Allahyarham telah dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pelajaran Agama Kementerian Pelajaran yang pertama dan menjadi pencetus kepada penubuhan sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) setelah terlibat dalam usaha pengambilalihan sekolah agama rakyat (SAR) di negeri-negeri.

Turut hadir balu Allahyarham Nik Mohd. Mohyiddeen, Che Zainab Muhammad Salleh.

Pada majlis tersebut, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi memajukan KISAS pada tahun depan selain bantuan RM200,000 bagi kegunaan kolej tersebut.

Perdana Menteri berkata, kesyumulan Islam tidak sepatutnya disempitkan dengan hanya menganggap ilmu wahyu sahaja yang berkaitan dengan keilmuan tetapi juga ilmu-ilmu yang lain.

Beliau menegaskan, umat Islam perlu mengamalkan kesepaduan ilmu bagi membolehkan mereka mencapai tamadun yang tinggi seperti pernah dicapai pada zaman kegemilangan Islam kerajaan Andalusia di Sepanyol dan kerajaan Uthmaniah di Turki pada satu ketika dahulu.

''Kalau disempitkan kesyumulan Islam maka rosaklah masa depan umat Islam," katanya.

Katanya, kepimpinan umat Islam juga mesti terangkum dalam konsep kesepaduan ilmu sebagaimana dituntut bagi sebuah negara Islam dan individu yang beriman serta ilmu telah dijanjikan oleh Allah, akan diangkat darjat mereka.

Selain itu Najib berkata, apa yang penting ialah bagi menjadi insan yang mencerminkan akhlak Islam ketika bergaul sesama manusia dan bukannya hanya mengutamakan ibadah khusus semata-mata.

Beliau yang mengingatkan tentang tiga bentuk permasalahan umat Islam pada masa kini menyatakan, antaranya Islam tidak dilihat sebagai matlamat yang patut diperjuangkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment