My Add

Monday 9 July 2012

Ceramah Anwar dingin

*LENGANG.... Konvensyen Pilihan Raya Umum anjuran PKR Pulau Pinang berlangsung dalam suasana hambar kerana tidak mampu menarik kehadiran ramai ahli parti itu di Bayan Baru, semalam.

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
PULAU PINANG, AHAD, 08 Julai, 2012: Kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen Pilihan Raya Umum anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri tidak mampu menarik kehadiran ramai ahli parti itu apabila ia berlangsung dalam suasana hambar.

Majlis yang diadakan di Dewan Konvensyen Sunshine di Bayan Baru, yang dikatakan kubu kuat parti itu hanya dihadiri kira-kira 200 orang sahaja walaupun beberapa pemimpin utama PKR seperti Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman; Ketua Wanita, Zuraidah Kamarudin dan Pengarah Strategiknya, Rafizi Ramli turut hadir.

Banyak kerusi di dewan yang boleh memuatkan kira-kira 1,000 orang itu kelihatan kosong manakala penyokong yang hadir pula sebahagian besarnya terdiri daripada orang Melayu.

Pada masa sama, Anwar juga kelihatan kurang bersemangat ketika berceramah apabila tidak mendapat tepukan gemuruh malah laungan 'Reformasi' yang sinonim dengan parti itu juga kedengaran sangat perlahan.

Ketika menyampaikan amanat selama kira-kira 45 minit, tidak ada banyak perkara baru yang disebut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kecuali mengulangi kritikannya terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Anwar mengakui masalah perumahan mampu milik di Pulau Pinang masih belum dapat diselesaikan kerajaan negeri DAP.

"Kita akui perkara ini kerana tidak ada banyak pilihan memandangkan keadaan fizikal negeri ini, namun saya berharap Ketua Menteri, Lim Guan Eng akan dapat menyelesaikan perkara ini sebaiknya.

"Namun, secara perbandingannya, nasib orang Melayu di Pulau Pinang adalah lebih baik berbanding orang Melayu di Kedah dan Terengganu. Jangan bandingkan orang Melayu di sini dengan orang Cina," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment