My Add

Wednesday 18 July 2012

DUN Sabah kaji kemungkinan guna televisyen internet

KOTA KINABALU, RABU, 18 Julai, 2012: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sedang mengkaji kemungkinan menggunakan kemudahan TV Internet untuk membolehkan orang ramai menonton persidangannya, kata Speakernya, Datuk Seri Salleh Said Keruak. 

Beliau berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada program transformasi yang sedang dikaji untuk dilaksanakan DUN berkenaan. Di samping itu, kata beliau, kegiatan menjelajah bandar raya Kota Kinabalu mungkin ditambah dengan lawatan berpandu ke Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah. 

"Pelancong akan berpeluang melawat premis ini dengan diiringi pemandu lawatan. Ini juga adalah sebahagian daripada transformasi DUN Sabah," katanya ketika melancarkan laman web rasmi Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini. 

Salleh berkata, satu mesyuarat akan diadakan dengan pihak berkuasa berkaitan Jumaat ini mengenai lawatan berpandu ke bangunan berkenaan seperti kawasan yang boleh dimasuki orang ramai. 

"Kami juga mengkaji kemungkinan membuka sebuah kedai cenderamata di bangunan ini setelah cadangan mengenainya mendapat kelulusan Kabinet negeri. 

"Perkhidmatan yang disediakan untuk pengunjung adalah sama seperti yang diberi di Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Parlimen. Kami harap lebih ramai pelajar akan menggunakan perkhidmatan ini untuk belajar tentang sejarah negeri ini," katanya. 

Mengenai laman web berkenaan, Salleh berkata, ia membolehkan orang ramai menonton perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah serta mendapat maklumat tentang wakil rakyat. 

"Setakat ini, Hansard yang terkandung dalam laman web ini hanya berkaitan persidangan pada 2011 dan 2012, dan Dewan Undangan Negeri ini akan mengemaskinikannya hingga ke 1961," kata beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment