My Add

Thursday 19 July 2012

Fathul Bari: Tolak pemimpin politik 'ala syaitan'

*Fathul Bari Mat Jahaya berhujah pada Debat Sinar Harian, yang dipengerusikan oleh Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, hari ini.

NORHASPIDA YATIM
SHAH ALAM, KHAMIS, 19 Julai, 2012: Golongan muda perlu menolak pemimpin-pemimpin yang suka mencetuskan huru-hara, menimbulkan propaganda dan persepsi tanpa disokong bukti serta fakta kukuh sehingga menyebabkan fitnah terhadap pihak lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, sikap ahli politik yang suka menimbulkan persepsi salah terhadap pihak lain diibaratkan seperti politik 'ala syaitan' yang hanya akan memburukkan pihak lain.

“Banyak kategori pemimpin yang perlu ditolak orang muda antara yang lain ialah mereka yang tidak memiliki kepakaran dalam bidang yang dipimpin.

“Mana mungkin seseorang yang tidak memiliki kepakaran akan berjaya dalam bidang yang dipimpinnya, justeru, orang muda perlu bijak menilai siapa pemimpin yang akan mereka pilih pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti," kata beliau pada Debat Sinar Harian bertajuk PRU13: Orang Muda Pilih Siapa? yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, sebentar tadi.

Debat yang menemukan beliau dan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi dipengerusikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Menurutnya, disebabkan golongan muda sinonim dengan perlakuan agresif, parti politik memainkan peranan penting dalam mendidik mereka mengenai cara berpolitik yang betul dan tidak bersandar kepada maklumat yang mereka peroleh daripada laman sosial.

“Orang muda bertanggungjawab mengubah struktur politik negara pada masa kini, jadi mereka perlu bijak menganalisis maklumat yang mereka peroleh bukan percaya bulat-bulat maklumat yang belum dipastikan sama ada dari fakta yang betul atau salah,” katanya.

“Apabila mereka suka guna medium itu untuk dapatkan maklumat, tidak menganalisis maklumat yang diperoleh, itu juga akan mencetuskan fitnah terhadap pihak lain dan budaya fitnah ini adalah jelas dilarang dalam Islam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, golongan muda perlu membenci budaya politik yang mengajak masyarakat membenci pihak lain.

“Tiada dalam ajaran Islam supaya kita menyuburkan budaya saling benci-membenci ini, ia bukan sahaja akan memecahbelahkan masyarakat malah akan melemahkan kedudukan negara itu sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment