My Add

Saturday 21 July 2012

Gua Wang Besar perlu dipulihkan: Radzi

KANGAR, sabtu, 21 jULAI, 2012: Gua Wang Besar, Bintong, dekat sini yang pernah menjadi tumpuan penduduk untuk berkelah dan mendapatkan bekalan air perlu dipulihkan, kata Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad. 

Katanya, gua yang berjasa itu kini terpinggir kerana orang ramai jarang mengunjunginya bagi mendapatkan bekalan air. Berucap pada perjumpaan dengan para penduduk Wang Besar dekat sini hari ini, beliau berjanji akan mencari peruntukan bagi memulihkan gua yang suatu ketika dahulu bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk sekitar tetapi juga penduduk Kangar. 

Selain mendapatkan bekalan air, ada penduduk yang berkunjung ke situ untuk mandi manda dan membasuh pakaian kerana airnya yang bersih dan tidak pernah kering. 

Mohd Radzi berkata, beliau mengenali gua itu sejak zaman kecil kerana ketika itu sering menyertai lawatan bapanya, Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad Mohd Hashim yang juga Menteri Besar Perlis pertama selepas kemerdekaan, ke kampung-kampung termasuk Wang Besar. 

Beliau berkata, gua berkenaan dan persekitarannya yang kini dipenuhi semak samun boleh menjadi tempat perkelahan jika dipulihkan. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wang Besar, Ahmad Hussin, menyambut baik hasrat Radzi untuk memulihkan kawasan gua itu. 

Katanya, walaupun penduduk di situ sudah lama menikmati kemudahan bekalan air bersih yang dibekalkan kerajaan namun masih ada penduduk yang menggunakan air daripada gua itu untuk mandi manda dengan alasan ia lebih menyegarkan. 

Kampung Wang Besar yang mempunyai lebih 100 buah rumah dengan kira-kira 450 penduduk adalah antara kampung yang sering dikunjungi kerana keindahannya. 

Baru-baru ini kampung itu memenangi Anugerah Desa Cemerlang (ADC) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) peringkat negeri Perlis dan menerima hadiah bernilai RM10,000. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment