My Add

Saturday 21 July 2012

Obama hantar ucapan selamat Ramadan

KUALA LUMPUR, SABTU, 21 Julai, 2012: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, dan isteri, Michelle, hari ini menghantar ucapan selamat menyambut Ramadan kepada umat Islam di seluruh dunia terutama orang Islam di Amerika. 

Obama berkata, Ramadan tahun ini membawa makna yang istimewa kepada rakyat di Asia Barat dan Afrika Utara yang berani mencapai demokrasi dan penentuan diri dan bagi mereka yang masih bergelut mendapatkan hak universal mereka.

"Amerika terus berdiri bersama-sama mereka yang mencari peluang untuk memutuskan nasib mereka sendiri, untuk hidup bebas daripada keganasan dan kekejaman dan untuk bebas mengamalkan kepercayaan mereka," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika di sini, hari ini. 

Obama berkata, di Amerika, Ramadan mengingatkan mereka bahawa Islam adalah sebahagian daripada jalinan yang mewujudkan masyarakat di negara itu, dan daripada perkhidmatan awam kepada perniagaan, dari penjagaan kesihatan dan sains dengan seni, orang Islam Amerika membantu mengukuhkan negara dan memperkaya kehidupan Amerika. 

"Walaupun Ramadan mempunyai makna yang mendalam bagi 1.5 bilion orang Islam di seluruh dunia, ia juga satu peringatan kepada semua umat manusia bagi semua kepercayaan berhubung komitmen terhadap keadilan, kesaksamaan dan belas kasihan yang dikongsi bersama oleh semua agama besar. 

"Atas semangat itu, saya berharap satu bulan penuh keberkatan bagi umat Islam di seluruh Amerika dan di seluruh dunia dan saya menanti-nanti untuk sekali lagi menjadi tuan rumah majlis iftar (berbuka puasa) di White House. Ramadan Kareem," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment