My Add

Friday 13 July 2012

Guru cemerlang mesti fikirkan mekanisme

PUTRAJAYA, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu guru-guru cemerlang memikirkan mekanisme terbaik sebagai persediaan untuk generasi hari ini memenuhi pekerjaan pada masa hadapan.

Menurut Perdana Menteri, situasi itu adalah sama seperti di zaman persekolahannya yang pada ketika itu tidak pernah terfikir akan wujud kejuruteraan mekatronik dan robotik.

''Dalam masa 15 ke 20 tahun lagi entah apa lagi bidang baru yang hari ini belum kita dapat kenal pasti dan tentu sekali pekerjaan baru itu tidak dapat kita fikirkan.

''Namun, anak-anak kita akan terpaksa mengisi jawatan atau pekerjaan yang hari ini belum lagi cukup untuk memenuhi tuntutan pada masa itu," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Guru Cemerlang 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Lebih 1,500 guru cemerlang hadir pada majlis yang bertujuan menyatukan gagasan pemikiran guru cemerlang agar seiring dengan agenda transformasi pendidikan negara ke arah meningkatkan kualiti pendidikan.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud, Pengerusi Majlis Pendidikan Tertinggi Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin dan Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Malaysia, Rodzli Hashim.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru guru-guru cemerlang mencabar diri untuk berusaha menerapkan kemahiran berfikir yang tinggi kepada para pelajar supaya mereka boleh berfikir dengan tajam, mendalam, kreatif dan inovatif.

''Dengan ini akan ada keanjalan untuk mengadakan adaptasinya dalam apa juga situasi yang bakal wujud pada masa akan datang agar anak-anak kita ada kemampuan untuk menghadapi cabaran itu.

''Saya kira inilah cabaran utama bagi kita hari ini sebagai pendidik untuk menyediakan generasi akan datang untuk dunia hari ini, yang kita mungkin sukar untuk lakarkan," katanya.

Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan tentang peratusan pelajar yang memilih bidang sains teknologi dan matematik semakin menurun.

Menurutnya, Kementerian Pelajaran mesti mengubah pelan untuk mencapai nisbah 60:40 iaitu 60 peratus pelajar memilih bidang sains teknologi dan matematik kerana ia adalah teras utama untuk mencapai status negara maju. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment