My Add

Thursday 12 July 2012

Hanya 1,494 taska berdaftar di seluruh negara

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Sehingga Jun ini, hanya 1,494 pusat asuhan kanak (TASKA) membabitkan sektor swasta, taska di tempat kerja, taska komuniti dan taska di rumah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara. 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie, berkata kementerian sentiasa menambah baik prosedur penubuhan taska serta sistem penyampaian bagi memudahkan penubuhan lebih banyak taska di seluruh negara, dengan memperkenalkan beberapa inisiatif.

 "Antara inisiatif ialah memudahkan proses pendaftaran dan penubuhan TASKA dengan menyediakan Unit Pusat Setempat oleh pihak berkuasa tempatan serta penyediaan garis panduan perancangan tapak, pelesenan dan proses penubuhan TASKA dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) bagi menyeragamkan proses pendaftaran di seluruh negara," katanya semasa menjawab soalan Senator Pau Chiong Ung pada persidangan Dewan Negara, hari ini. 

Heng berkata, kementerian juga menyediakan portal eZI2CARE bagi pendaftaran menghadiri kursus asas asuhan kanak-kanak secara dalam talian (online). 

Beliau berkata, JKMM menerima 52 aduan dan pertanyaan mengenai pusat harian kanak-kanak dan pendidikan kanak-kanak tidak berdaftar bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini. 

Menjawab soalan Senator Chew Lee Geok mengenai tindakan yang diambil terhadap taska tidak berdaftar, Heng berkata walaupun tidak di bawah pemantauan dan penyeliaan JKMM, apabila berlaku sesuatu kes penderaan atau kematian, tindakan boleh diambil mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (Pindaan 2007) 1984. 

Beliau berkata, jika sabit kesalahan pertama, pengusaha taska boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kali kedua pula, mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment