My Add

Thursday 12 July 2012

Sektor luar bandar kekal agenda utama pembangunan

SELAMA, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Sektor luar bandar akan kekal menjadi agenda utama pembangunan kerajaan di samping pelan perancangan baru sentiasa dicetuskan supaya masyarakat dapat menikmati kehidupan lebih baik, saksama dan adil, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Beliau berkata, sektor pembangunan luar bandar yang tidak pernah diabaikan telah mengalami evolusi sejak 55 tahun lalu dan kini ternyata masih kekal menjadi sektor yang sentiasa dimajukan melalui pelbagai usaha kerajaan. 

"Sebahagian masyarakat luar bandar hari ini memerlukan sokongan kerajaan untuk kehidupan lebih sempurna. Ini kerana untuk meningkatkan ekonomi tidak boleh bergantung kepada satu sumber ekonomi (pertanian) sahaja," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar Mini (Mini RTC) Sungai Siputeh di sini, hari ini. 

Katanya, perubahan sektor luar bandar ke tahap yang lebih baik telah berlaku dalam aspek kaedah sumber ekonomi dijalankan, corak hidup masyarakat, pendapatan, taraf kesihatan serta pendidikan anak-anak sehingga peringkat tertinggi. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, keadaan negara yang makmur serta aman dengan ekonomi sudah berkembang maju dengan baik itu perlu diberi penambahbaikan dan dipertahankan kerana tidak banyak negara di dunia berada seperti keadaan Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment