My Add

Monday 16 July 2012

Himpunan gagal dapat sambutan

Oleh ASLIZA MUSA
TAPAH, AHAD, 15 Julai, 2012: Kegagalan Himpunan Oren yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur semalam menunjukkan provokasi pakatan pembangkang untuk memburukkan Felda tidak lagi mendapat perhatian golongan peneroka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, perhimpunan tersebut gagal kerana ia hanya mampu menarik penyertaan antara 1,500 dan 2,000 orang dan majoriti yang hadir pula terdiri daripada penyokong pembangkang, bukannya peneroka.

"Apa yang kita lihat, pembangkang ini apabila kita beri durian runtuh, bagi saham, penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang beri keuntungan, perasmian Menara Felda, ia jadi satu kerugian bagi mereka.

"Mereka ini tidak mahu rakyat untung. Sebab itu, mereka anjurkan perhimpunan tetapi silap besar sebab tidak mendapat sambutan, malah, disertai pula oleh pihak lain yang datang dari mana-mana yang tidak tahu pun isu Felda," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tapah di sini hari ini.

Perhimpunan anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang disertai 12 NGO semalam diadakan sebagai tanda bantahan terhadap penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.

Perarakan yang bermula pada pukul 2 petang dari Masjid Wilayah Persekutuan tersebut bertujuan menyerahkan memorandum meminta campur tangan Yang di-Pertuan Agong dalam isu itu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, ketiadaan pemimpin utama pembangkang pada perhimpunan yang diadakan juga memperlihatkan mereka tidak sepakat dalam isu penyenaraian FGV.

Malah, tindakan menggunakan gambar bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah seolah-olah menyokong bantahan tersebut disifatkan sebagai suatu pembohongan dan kerja jahat pihak terbabit.

"Mereka guna wajah kedua-dua tokoh itu di dalam poster untuk promosi bagi menarik minat orang, tetapi tetap tidak mendapat sokongan juga.

"Tindakan mereka ini sangat tidak bertanggungjawab dan satu pembohongan besar kerana Tun Abdullah dan Tengku Razaleigh sendiri tidak tahu langsung mengenai perkara ini," ujarnya.

Terdahulu, berucap pada majlis tersebut, beliau meminta semua perwakilan supaya menggunakan peluang menerusi mesyuarat itu sebagai pusingan terakhir dalam membincangkan agenda parti sebelum menghadapi pilihan raya umum.

''Ini mesyuarat perwakilan yang terakhir sebelum pilihan raya. Oleh itu, ini peluang terbaik bagi kita membincangkan agenda parti dan persiapan pilihan raya termasuk janji-janji yang belum tertunai untuk diselesaikan,'' ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment