My Add

Monday 16 July 2012

Semua kaum mempunyai peluang yang sama: Muhyiddin

KUALA LUMPUR, AHAD, 15 Julai, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, semua kaum mempunyai peluang yang sama dalam menikmati hasil kemakmuran negara ini.

Beliau berkata, dakwaan kononnya kerajaan memberi layanan yang lebih baik kepada golongan bumiputera adalah satu tanggapan yang kurang tepat.

Menurut beliau, walaupun hak kaum bumiputera dijamin oleh Perlembagaan, ia tidak bermakna hak kaum-kaum lain dinafikan atau dikurangkan.

''Semua warganegara mempunyai hak yang sama di bawah Perlembagaan tanpa mengira latar belakang kaum mereka.

''Mungkin ada yang kurang berpuas hati tentang isu-isu tertentu. Mereka boleh menyuarakannya kepada kerajaan," katanya pada sesi soal jawab selepas merasmikan majlis penutupan Persidangan Tahunan Pimpinan Mahasiswa Malaysia 2012 di sini hari ini.

Muhyiddin menjawab soalan seorang pelajar yang bertanya sama ada rakyat bukan bumiputera dilayan sebagai warganegara kelas kedua di negara ini.

Terdahulu, dalam ucapannya yang bertajuk Metamorfosis Malaysia, beliau memberitahu, proses evolusi ekonomi, politik dan sosial menjadikan Malaysia lebih menonjol daripada negara-negara sedang membangun yang lain.

Jelasnya, negara menikmati pembangunan ekonomi yang rancak tanpa perlu mengorbankan institusi-institusi demokrasi dan kerajaan berperlembagaan.

''Kita juga membenarkan amalan politik yang bersifat kompetitif di dalam masyarakat berbilang kaum dan agama tanpa mengorbankan kestabilan politik.

''Yang lebih penting, kita menikmati keharmonian kaum dan perpaduan sosial dan pada masa yang sama, memimpin kerajaan dan masyarakat ke arah yang lebih demokratik," ujarnya.

Tambah Muhyiddin, rakyat Malaysia juga amat beruntung kerana perjalanan menuju demokrasi tidak dicemari dengan insiden perang saudara, keganasan perkauman atau pertumpahan darah tetapi ia dicapai menerusi proses penambahbaikan yang signifikan dalam bidang pendidikan, ekonomi dan politik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment