My Add

Saturday 7 July 2012

Bukti SPRM tidak lindungi sesiapa: Abu Kassim

KUALA LUMPUR, SABTU, 07 Julai, 2012:: Hukuman penjara 13 tahun dan denda lebih RM2 juta yang dijatuhkan ke atas seorang Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam membuktikan badan itu tidak melindungi sesiapa sahaja yang terpalit dengan rasuah. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, berkata kes itu yang disiasat pegawai SPRM dan pendakwaan oleh Bahagian Pendakwaan SPRM, turut membuktikan SPRM tidak "memilih bulu" dalam membanteras gejala yang mampu meranapkan negara itu.

 "Saya mahu semua orang jelas bahawa kami tidak bertoleransi dengan rasuah. Pegawai (SPRM) baik macam mana pun, jika terbabit dengan perkara yang menjejaskan integriti terutama rasuah, kami akan ambil tindakan. 

"SPRM anggap kes ini amat serius. Saya harap ia dapat memberi kesan literal dan juga 'signal' kepada semua pegawai kerajaan termasuk SPRM supaya tidak terbabit dengan rasuah," katanya kepada pemberita hari ini. 

Terdahulu, beliau merasmikan perlawanan boling antara SPRM dan Corrupt Practices Investigation Bureau (CPIB) Singapura sempena sukan tahunan persahabatan membabitkan dua agensi itu di Seri Kembangan, dekat sini. 

Semalam, Penolong Penguasa SPRM, M Mohan, 39, dihukum penjara 13 tahun dan denda RM2.275 juta oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, atas kesalahan rasuah tiga tahun lalu. 

Abu Kassim berkata, hukuman itu adalah yang paling berat setakat ini dalam pelaksanaan Akta SPRM 2009 yang menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997. 
Beliau menarik perhatian bahawa badan pencegah rasuah di tempat lain seperti Hong Kong dan Singapura mengambil tindakan tegas terhadap pegawai yang melakukan kesalahan. 

"Ini adalah satu indikator mereka tidak melindungi mana-mana pegawai terbabit, sama seperti SPRM sendiri," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment