My Add

Thursday 12 July 2012

Suwaibah diiktiraf dalam MBR

*ABDULLAH Ahmad Badawi menyampaikan sijil dan pingat kepada Suwaibah Muhammad Nasir sambil diperhatikan Danny Ooi pada majlis Penerima Anugerah Malaysia Book of Records 2012, Kuala Lumpur, malam tadi. - UTUSAN/WAHIDAH ZAINAL

Oleh NOR AZHARI ZAINOODDIN
KUALA LUMPUR, RABU, 11 Julai, 2012: Malaysia Book of Records (MBR) mencatatkan pelantikan kedua Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai rekod untuk tahun ini dan dimuatkan di dalam edisi kelapan buku berkenaan.

Pelantikan Seri Paduka itu dilihat menambahkan lagi keunikan sistem beraja yang diamalkan di negara ini.

Selain pelantikan baginda, pencapaian pelari wanita negara, Suwaibah Muhammad Nasir, 38, yang merentasi Gurun Sahara sejauh 1,111 kilometer (km) secara solo turut diiktiraf di dalam edisi tersebut.

Kedua-dua rekod berkenaan diumumkan semasa majlis pelancaran edisi kelapan MBR dan sambutan ulang tahun ke-17 buku berkenaan di sini malam ini.

Majlis disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Hadir sama Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'cruz dan pengasas buku berkenaan, Datuk Danny Ooi.

Melalui majlis yang bertema Semangat 1Malaysia itu, pelakon cilik, Mia Sara atau nama sebenarnya Mia Sara Nasuha Muhamad Ridhuan diiktiraf sebagai pelakon termuda yang berjaya meraih trofi di Festival Filem Malaysia.

Selain Mia Sara, beberapa nama besar dalam industri hiburan seperti pengacara terkenal, Aznil Nawawi; pengarah muda, Mohd. Syamsul Yusof dan adiknya, Muhamad Syafiq turut diiktiraf melalui kategori pencapaian dalam bidang seni.

Aznil diiktiraf sebagai personaliti televisyen bertahan paling lama dalam industri manakala Mohd. Syamsul menerima pengiktirafan sebagai pengarah filem paling muda memenangi anugerah Pengarah Terbaik dalam Festival Filem Malaysia.

Selain memberikan pengiktirafan di dalam kategori pencapaian seni, beberapa nama lain turut dicatatkan di dalam MBR iaitu kategori kemanusiaan dan sukan.

Melalui kategori kemanusiaan, Sheikh Akmal Sheikh Imam, 16, diiktiraf sebagai remaja lelaki paling tinggi dengan ketinggian 2.04 meter ketika berusia 15 tahun dan Kama Mirezzanial Kama Rezmi, 8, diiktiraf kanak-kanak lelaki terpendek dengan ketinggian 56 sentimeter dan berat 4.5 kilogram ketika berusia tujuh tahun.

Melalui kategori sukan pula, pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali diiktiraf sebagai pemain bola sepak yang menerima bayaran paling tinggi. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment