My Add

Saturday, 21 July 2012

Jangan beri ruang anasir luar lemahkan umat Islam - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru masyarakat Islam di negara ini agar tidak memberi ruang kepada anasir luar menyelinap masuk bagi melemahkan umat Islam secara senyap.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kekuatan jiwa yang bakal diuji sepanjang Ramadan ini adalah landasan untuk masyarakat Islam bersatu hati mengetepikan segala sifat mazmumah yang akhirnya membuka laluan untuk negara Malaysia terus gemilang.

Sehubungan itu, beliau percaya dengan kehadiran Ramadan tahun ini, akan memberi cabaran kepada umat Islam untuk 'berperang' dengan anasir yang boleh meruntuhkan kekuatan hati sehingga akhirnya membawa kepada pembentukan ummah sejati.

''Kerana itu saya menyeru umat Islam di negara ini terus melaksanakan amalan yang akan menyatukan kita semua.

''Hentikan pembaziran, buang sifat dengki, saling menyakiti dan umpat keji lantaran kesemuanya itu akan melonggarkan ukhuwah sesama kita,'' katanya dalam perutusan sempena Ramadan di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya meminta masyarakat Islam di negara ini bersyukur kerana dikurniakan keamanan dan keharmonian yang menyebabkan seluruh rakyat dapat menjalani kehidupan jauh lebih baik.

Katanya, jika dibandingkan dengan saudara seagama yang ditindas di negara bergolak terutama Palestin apabila terpaksa mengharungi Ramadan dalam suasana negara yang tidak aman, berhadapan masalah kekurangan makanan sehingga disekat daripada mendapat segala bekalan.

''Sesungguhnya kehidupan yang dikurniakan Allah kepada umat Islam di negara ini adalah rahmat serta nikmat yang amat besar serta tiada tandingannya.

''Diharap kehadiran Ramadan, bulan yang penuh berkat dan dilimpahi pelbagai rahmat-Nya menimbulkan rasa insaf serta dapat menambah sifat tawaduk dalam kalangan umat Islam ke arah menjadi ummah sejati,'' kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment