My Add

Saturday 21 July 2012

Bidang Sains Kesihatan diperkasa

*MUHYIDDIN Yassin melakukan demonstrasi rawatan sambil diperhatikan Jamil Khir Baharom (kiri) dan pelajar selepas merasmikan kampus baru PICOMS di Kuala lumpur, semalam.

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Rantau Asia Tenggara ketika ini kekurangan sebanyak 1.2 juta tenaga profesional dalam bidang Sains Kesihatan dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 1.8 juta menjelang 2020.

Menyedari banyak peluang pekerjaan dalam bidang tersebut, kerajaan sedang meningkatkan akses pendidikan Sains Kesihatan bagi membolehkan Malaysia mampu memenuhi permintaan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi tujuan itu, bilangan kapasiti graduan Sains Kesihatan akan ditingkatkan kepada 150,000 pelajar menjelang 2020 berbanding 55,000 ketika ini.

Pada masa sama, beliau memberitahu, kerajaan juga akan melaburkan RM1.4 bilion dalam pendidikan tersebut dan dijangka memberi pendapatan kasar RM2.8 bilion kepada negara.

"Bidang ini akan berkembang pesat seiring kedudukannya sebagai salah satu kluster utama Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) pendidikan, lebih-lebih lagi pengajian ini mempunyai peluang kerjaya yang cerah.

"Saya percaya melalui langkah ini, Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengambil peranan utama bagi memenuhi permintaan tenaga kerja profesional dalam Sains Kesihatan di peringkat Asia Tenggara," katanya.

Beliau berucap merasmikan kampus baru Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) iaitu kolej milik penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali dan Pengerusi PICOMS, Datuk Mohd. Zubir Saad.

Menurut Muhyiddin, buat masa ini sebanyak tujuh buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan 62 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menawarkan pengajian Sains Kesihatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang giat melaksanakan pelan strategik masing-masing untuk meningkatkan kualiti pengajian tinggi di negara ini.

"Gandingan kedua-dua kementerian ini akan dapat meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita sebagaimana diharapkan dan seterusnya mampu melahirkan modal insan unggul untuk memacu kemajuan Malaysia," ujarnya.

Menyentuh mengenai PICOMS, Timbalan Perdana Menteri menyambut baik langkah IPTS itu mengembangkan pengajian dalam bidang Sains Kesihatan dengan menawarkan pelbagai kursus baru yang selari dengan keperluan.

Malah, beliau juga menyokong penuh usaha PICOMS untuk muncul sebagai sebuah kolej universiti pada tahun depan kerana IPTS tersebut mempunyai rangkaian antarabangsa selain semua syarat telah dipenuhi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment