My Add

Saturday, 21 July 2012

Perbezaan ideologi politik lemahkan kekuatan Islam - Najib

*RIBUAN umat Islam menunaikan solat tarawih di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, malam tadi. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan perpecahan umat Islam akibat daripada perbezaan dan ideologi politik merupakan salah satu faktor yang boleh melemahkan kekuatan Islam di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, musuh-musuh Islam sentiasa berusaha untuk memecah belah umat Islam kerana mereka sedar kekuatan Islam selama ini banyak bergantung kepada perpaduan yang terbina erat.

Justeru, beliau menyeru umat Islam supaya menguatkan lagi perpaduan ummah kerana ia merupakan asas kekuatan umat Islam pada masa depan.

‘‘Untuk itu inspirasi perpaduan daripada peristiwa Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadan harus dijadikan pedoman oleh umat Islam secara menyeluruh. Yakini bahawa kemenangan dan kejayaan itu hanya akan datang apabila terciptanya perpaduan di antara yang memimpin dengan yang dipimpin,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan Ramadan di blognya, http://1malaysia.com.my.

Ujar Najib, perbezaan pendapat dan ideologi perlu diketepikan demi perpaduan ummah yang akan membawa seluruh umat Islam di negara ini ke suatu dimensi baru yang lebih baik pada masa mendatang.

Menyentuh tentang kedatangan 1 Ramadan yang disambut umat Islam di negara ini esok (hari ini), Najib berkata, Ramadan adalah bulan perjuangan menentang hawa nafsu dan umat Islam perlu menginsafi diri dengan membantu para fakir miskin, anak-anak yatim dan orang yang kurang bernasib baik.

‘‘Perbuatan membazir haruslah dielakkan. Sikap suka bersedekah mestilah dipupuk. Zakat fitrah pula janganlah dilupakan.

‘‘Bulan Ramadan adalah merupakan bulan kemuliaan dan penuh keberkatan yang dikurniakan Allah kepada umat Islam untuk diambil peluang bagi meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dengan pelbagai ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Jelasnya, ibadat puasa yang dilakukan dengan penuh kesempurnaan sudah pasti mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa menjadi lebih tenang dan seterusnya membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertakwa kepada Allah.

‘‘Akhirnya, jangan kita lupa untuk mencari kerahmatan di malam lailatul qadar yang mempunyai ganjaran kebaikan bersamaan seribu bulan dan rahmat keampunan daripada Allah. Selamat menyambut Ramadan dan selamat menunaikan ibadah puasa,’’ katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment