My Add

Friday 20 July 2012

Jangan salah pilih pemimpin: Najib

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan rakyat supaya tidak tersalah memilih pemimpin kerana boleh mengakibatkan keamanan negara tergadai, sekali gus menyebabkan rakyat hilang nikmat untuk melakukan ibadat.

Perdana Menteri berkata, pemimpin sedemikian yang beliau sifatkan sebagai tidak berakal, akan memporak-perandakan negara selain meragut kemakmuran rakyat yang dikecapi pada hari ini. 

"Kalau kita salah pilih (pemimpin) dengan meletakkan orang yang tidak kena pada tempatnya maka nikmat kemakmuran itu mungkin terlepas dari kita. 

"Setakat orang itu baik sahaja, itu belum cukup kerana ada orang yang cuba menampakkan dia baik tapi dia sebenarnya tidak baik," katanya ketika berucap di majlis penyampaian sumbangan kepada 57 masjid dan 170 surau di Parlimen Pekan sempena Ramadan di sini.

Beliau berkata, pemimpin yang berakal dan cemerlang adalah pemimpin yang berkemampuan untuk mentadbir negara, membuat dasar-dasar negara, menjana kekayaan dan menjalin hubungan baik dengan negara-negara luar.

Mengambil contoh pemimpin yang tidak berakal, Najib berkata perkara itu dapat dilihat ketika Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu yang membawa pelbagai kesusahan kepada negara dan rakyat kerana sikap keras kepala dan kurang ajar pemimpin pembangkang.

"Ketika Perhimpunan Bersih 3.0 dulu, sudahlah buat angkara dalam negara iaitu secara tidak aman, yang paling parah buat demonstrasi di Tanah Haram, di depan Masjid Nabi dan depan Masjidil Haram yang hampir mengakibatkan kuota haji kita ditarik balik oleh kerajaan Arab Saudi. 

"Kenapa pemimpin ini tidak guna akal. Kenapa Tuhan bagi akal dia tak guna. Kenapa semata-mata sebab politik dia sanggup melakukannya di tanah suci," katanya.

Najib berkata, tindakan bodoh pembangkang itu hampir menyebabkan jemaah haji Malaysia yang menanti sehingga 10 tahun untuk menunaikan haji terlepas peluang beribadat.

"Akhirnya yang perlu selamatkan keadaan adalah kerajaan saya kerana kita ada hubungan yang baik dengan Raja Abdullah, dengan menggunakan saluran tertentu untuk jelaskan keadaan, Alhamdulillah kuota haji kita tidak terjejas," katanya.

Najib turut meminta rakyat mengambil barakah Ramadan dengan memperbanyakkan melakukan amal ibadat dan jariah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment