My Add

Friday 20 July 2012

RM60 juta baik pulih rumah jiran FELDA: PM

JERANTUT, JUMAAT, : Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM60 juta untuk membaik pulih 12,000 rumah yang berjiran dengan kawasan FELDA menerusi Program Kampung Sejahtera Inspirasi FELDA (Kasih Felda). 

Perdana Menteri berkata, untuk fasa pertama tahun ini, sebanyak 4,000 rumah akan dibaik pulih membabitkan peruntukan RM20 juta. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program itu, di sini.
Program Kasih FELDA membabitkan kawasan kampung lama dan tradisional yang terletak berhampiran 317 tanah rancangan FELDA di seluruh negara. 

Di bawah program itu, setiap keluarga yang layak akan menerima RM5,000 bagi membaik pulih rumah masing-masing. 

Terdahulu Najib melawat beberapa rumah yang dikenal pasti menerima bantuan tersebut antaranya rumah milik Helan Jaafar Sidek, 49, dari Kampung Air Hitam, Pasir Sia dekat sini. 

Pada kunjungannya itu, Najib menyerahkan bantuan berbentuk simen, batu-bata, pasir dan atap bernilai RM5,000 kepada Kamarun Helan bagi membaiki bahagian dapur rumahnya.

Beliau juga sempat bertanya khabar isteri Kamarun Helan, Asmaswati Che Wok, 39, yang sedang berpantang selepas melahirkan anak keenam. 

Peluang itu juga digunakan Kamarun Helan untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin akan nasibnya sekeluarga. 

Najib turut menyumbangkan bantuan serupa kepada Osman a/l Nai, 30, di Kampung Orang Asli Batu 10 dekat sini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment