My Add

Thursday 26 July 2012

Janji turun harga kereta rencat usaha kerajaan

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Julai, 2012: Janji pembangkang untuk menurunkan harga kereta jika berjaya mentadbir Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti mampu merencat usaha kerajaan dalam menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini berusaha untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam, khususnya di ibu negara menerusi projek tambahan laluan transit aliran ringan (LRT), transit aliran pantas (MRT), komuter dan bas.

Ini tegasnya, sebagai galakan kepada orang ramai menggunakan perkhidmatan awam untuk mengurangkan kesesakan jalan raya.

''Jika kurangkan harga kereta, ia bermakna kita akan menghapuskan cukai. Apabila hapus cukai, ini akan memberi kesan kewangan sebanyak RM4.6 bilion setiap tahun iaitu cukai yang tidak dapat dipungut kerajaan. Janji ini merupakan sebahagian daripada janji-janji yang lain. Persoalannya bagaimana pembangkang nak biayai janji-janji itu?

''Jika satu janji tak mengapa. Tetapi jika ditambah dengan janji menghapuskan tol, pendidikan percuma, royalti minyak tambahan kepada Sabah dan Sarawak, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan nak beri gaji minimum RM4,000 setiap keluarga, ini akan bankrapkan negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn, di sini hari ini.

Khairy mengulas kenyataan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli mengenai janji pembangkang untuk menurunkan harga kereta.

Menurutnya, sesiapa sahaja boleh berjanji, tetapi jika tidak disusuli dengan penjelasan untuk membiayainya, ia dikhuatiri bertukar sebagai janji yang tidak bertanggungjawab yang akhirnya memudaratkan ekonomi negara.

''Komitmen mengurangkan kesesakan jalan raya, ini juga tidak dikaji pembangkang. Mereka tak fikir implikasi itu. Walaupun dari segi mengurangkan beban rakyat mungkin baik tetapi tak fikir implikasi kewangan dan komitmen berkenaan.

''Ini jelas menunjukkan ia sekadar janji secara spontan semata-mata untuk pancing undi dan janji populis serta tak bertanggungjawab,'' tegasnya.

Dalam perkembangan lain, katanya, Biro Antarabangsa Pemuda UMNO telah diarahkan untuk mengkaji sejauh mana pergerakan itu dapat menghulurkan bantuan terhadap nasib yang menimpa pelarian Rohingya.

Sementara itu, jelasnya, Pemuda UMNO akan mengadakan program tadarus dan khatam al-Quran pada 11 Ogos ini di Masjid Asy-Syakirin KLCC.

Ujarnya, program itu akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

''Kita akan memberi sumbangan kepada 800 orang golongan miskin dan anak yatim pada majlis itu. Hari ini pula kita telah mengagihkan 5,770 kotak berisi barang-barang keperluan kepada ketua-ketua Pemuda UMNO bahagian untuk bantuan golongan miskin,'' jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment