My Add

Saturday 14 July 2012

KDN gembleng sukarelawan swasta, NGO perangi jenayah

MELAKA, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan konsep baru dengan menggembleng pembabitan semua pihak termasuk sektor awam dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dan belia dalam memastikan keselamatan dan kesedaran menangani jenayah. 

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Abd Rahim Mohamad Radzi, berkata pembabitan NGO dan golongan belia serta peranan mereka sebagai sukarelawan adalah komponen baru dalam usaha mengatasi masalah jenayah. 

"Penggemblengan semua pihak ini adalah konsep dan kesedaran baru terutama pembabitan sukarelawan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Kompleks Kastam, Imigresen Kuarantin dan Keselamatan oleh Jabatan Kerja Raya di Muara Sungai Melaka, di sini hari ini. 

Abd Rahim berkata, antara pendekatan yang diperkenalkan termasuk program "omnipresence" serta rondaan secara ketara di lokasi penting seperti di sekolah termasuk sekolah antarabangsa dan kawasan kompleks perniagaan khususnya di kawasan meletak kenderaan. 

Beliau berkata, peranan NGO dan belia sebagai anggota sukarelawan keselamatan dilihat sebagai pembabitan menyeluruh rakyat dalam membendung jenayah. 

"Kerjasama mereka sebagai sukarelawan untuk memastikan segala keresahan dan ketakutan (terhadap jenayah) dapat dibendung dan rakyat serta orang ramai bertanggungjawab atas keselamatan diri dan premis," katanya. 

Mengenai kawalan keselamatan di kompleks beli-belah yang membabitkan pasukan RELA, beliau berkata koordinasinya dilakukan secara berhemah kerana kompleks berkenaan mempunyai pengawal keselamatan sendiri. 

Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan berharga RM73 juta serta berkeluasan 8,000 meter persegi itu, dijangka mula beroperasi pada 1 Ogos depan, sebagai pintu masuk ke Melaka bagi pengangkutan feri antara Melaka dan Dumai, Indonesia. 

Antara ciri istimewa kompleks itu ialah ia mempunyai kemudahan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu pintu masuk pertama di negara ini yang menyediakan kemudahan sedemikian, katanya bahawa tujuh agensi di bawah KDN akan ditempatkan di kompleks tersebut. 

Tahun lalu, seramai 124,000 penumpang memasuki Melaka menggunakan jeti di pelabuhan Sungai Melaka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment